KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak boleh bertindak semberono untuk membebaskan kanak-kanak dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan dalam Op Global.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ini kerana kes berkenaan melibatkan pelbagai agensi bertanggungjawab yang masing-masing mempunyai garis panduan ditetapkan.
"Berdasarkan data dan laporan, sebenarnya pihak yang bersama-sama berkerjasama (dalam kes ini) bukan satu pihak saja tapi merangkumi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan ramai lagi pihak terlibat.
"Sesungguhnya semua agensi ini ada garis panduan (SOP) dan mengikut lunas undang-undang sedia ada. Semuanya tidak boleh dilakukan secara semberono. Maka dengan itu kita memberikan satu kepercayaan dan keyakinan bahawa agensi ini melakukan tugas dengan sebaiknya selaras dengan melindungi kebajikan semua yang terlibat,” katanya ketika sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan daripada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkenaan berapa lama lagi anak-anak yang diselamatkan membabitkan GISBH akan ditahan.
Tuan Ibrahim turut membangkitkan mengapa individu berkaitan dengan GISBH tidak didakwa atas tuduhan mengamalkan Aurad Muhammadiah.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, ketetapan hukum diperlukan sebelum mana-mana individu berkaitan rapat dengan GlSBH boleh didakwa mengikut lunas undang-undang.
Jelas beliau, ketetapan hukum yang telah ditetapkan beberapa negeri termasuk Jawatankuasa Muzakarah MKI akan dijadikan rujukan sebelum pendakwaan dibuat.
"Selain daripada itu, bukti itu perlu dipastikan kesahihan dan kekuatan dari segi bukti itu sendiri.
"Jadi dari aspek ini kita serahkan kepada pihak berkuasa terutamanya pendakwaan syarie untuk meneliti perkara ini dengan lebih baik,” katanya.