KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas didenda RM15,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menghantar komunikasi jelik menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah menerusi akaun Facebook.
Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Wai Foo Sing, 69, selepas tertuduh mengaku bersalah memuat naik karikatur jelik yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Aisyah.
Iklan
Iklan
"Komen tertuduh yang jelik dan menyinggung disertakan dalam catatannya di media sosial. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam kes ini, tindakan tertuduh adalah tidak wajar, menyinggung dan jelik berdasarkan agama dan ia telah melampaui kebebasan bersuara yang dibenarkan mengikut perlembagaan.
"Jenayah menghina agama seseorang tidak hanya bertentangan dengan penganut agama tertentu tetapi juga berlawanan dengan nilai dan fungsi agama tersebut," kata hakim itu.
Pada 20 Januari, Foo Sing menukar pengakuannya kepada bersalah mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Dia melakukan kesalahan itu pada jam 5 petang 17 Februari 2019 dan hantaran itu telah dibaca pada jam 12 tengah hari, 18 Februari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abdul Hadi manakala Wai diwakili peguam Gabriel Susayan. - Bernama