MOSCOW - Kontraktor pertahanan Malaysia, Leonard Francis yang lebih dikenali sebagai 'Fat Leonard', seorang daripada defendan utama dalam skandal rasuah terburuk dalam sejarah Angkatan Laut AS dijatuhi hukuman penjara 15 tahun, menurut Pejabat Peguam AS di Daerah Selatan California pada Rabu.
"Leonard Glenn Francis, dalang di sebalik skim rasuah dan penipuan yang menyasarkan Angkatan Laut AS, telah dijatuhi hukuman di mahkamah persekutuan hari ini selama 180 bulan penjara dan diperintahkan membayar pampasan sebanyak AS$20 juta kepada Angkatan Laut serta denda sebanyak AS$150,000.
Iklan
Iklan
"Francis juga diperintahkan untuk menyerahkan hasil haram berjumlah AS$35 juta hasil jenayah yang dilakukannya,” menurut kenyataan itu.
Pada Disember 2023, AS menandatangani perjanjian dengan Venezuela untuk membebaskan enam warganegara AS yang ditangkap di negara Amerika Latin itu dan mengekstradisi Francis yang melarikan diri ke Venezuela pada September 2022 semasa menjalani tahanan rumah.
Lelaki berusia 60 tahun itu pada asalnya ditangkap di AS pada 2013 atas tuduhan rasuah.
Syarikatnya, Glenn Defence Marine Asia, memberikan berjuta-juta dolar barangan bernilai dan wang tunai kepada kakitangan Tentera Laut AS dan kakitangan komando kerana menyokongnya semasa proses pemerolehan dan menyediakan maklumat sulit.
Francis mengaku bersalah atas semua pertuduhan, termasuk cubaan melarikan diri. - Bernama