KUALA LUMPUR - Dua bekas Menteri Kewangan akan dipanggil bagi melengkapkan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan komitmen pemulangan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dijangka diadakan pada minggu ketiga bulan ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia membabitkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memegang jawatan itu pada 2021 hingga 2022 dan Lim Guan Eng yang berkhidmat pada 2018 hingga 2020.
Menurutnya, selain itu turut dipanggil adalah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan firma guaman Rosli Dahalan Saravanan (RDS) Partnership.
"Ia untuk memberikan penjelasan berhubung usaha mendapatkan aset 1MDB semasa mereka berada dalam Jawatankuasa Khas 1MDB. Prosiding dijangka diadakan pada minggu ketiga November 2024," katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen pada Rabu.
Sebelum itu beliau menjelaskan, PAC telah mengadakan prosiding mengenai Komitmen Pemulangan Aset 1MDB dan Jaminan Pembiayaan Hutang 1MDB pada Isnin.
Katanya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood dan Ketua Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah memberi keterangan ketika prosiding berkenaan.
"Dalam prosiding yang mengambil masa selama dua jam itu, PAC telah mendengar mengenai usaha-usaha kerajaan dalam mendapatkan aset 1MDB serta pembiayaan hutang 1MDB yang berjumlah RM9.456 bilion.
"PAC telah menggunakan punca kuasa Peraturan Mesyuarat (PM) 77 (1)(c), Arahan Perbendaharaan (AP) (Pindaan 2023) 301 dan 304 (a) serta Seksyen 5(3)(d) Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2024: Organisasi Kementerian-Kementerian bagi membincangkan kedua-dua isu tersebut," katanya.
Pada masa sama, Mas Ermieyati berkata, dalam prosiding berhubung Pengurusan Akaun Belum Terima Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), PAC telah mendengar keterangan dan penjelasan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
"Prosiding ini akan disambung semula pada minggu ketiga November 2024," katanya.
Sementara itu beliau menambah, PAC juga membentangkan Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen Berhubung Felcra Berhad pada Rabu.
Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh membaca tindakan yang diambil oleh MOF dan Felcra atas syor-syor laporan PAC berhubung Felcra yang telah dibentangkan pada 26 Jun 2024.
"Manakala esok, PAC akan membentangkan laporan berhubung Majlis Profesor Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri setebal 278 muka surat. Prosiding ini telah diadakan pada 1 Ogos 2024," katanya.