KUALA TERENGGANU - Seekor beruang matahari jantan seberat 60 kilogram (kg) mati selepas dirempuh kenderaan di Kilometer 406, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada Rabu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, haiwan liar itu mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi tadi.
"Seramai enam anggota Perhilitan telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati seekor beruang telah mati di lokasi tersebut.
"Bangkai haiwan itu telah diambil dan ditanam di kawasan yang bersesuaian pada hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Biodiversiti Terengganu 2024 di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai seekor beruang berguling kesakitan di atas jalan dipercayai selepas dilanggar dalam kejadian di Kilometer 422 LPT2, beliau memaklumkan setakat ini haiwan liar tersebut masih belum dijumpai.
"Kita sudah mengarahkan kakitangan kita pergi ke situ tetapi beruang itu sudah tidak kelihatan.
"Kita percaya beruang itu sudah kembali semula ke hutan berhampiran. Bagaimanapun, kita harap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan haiwan itu segera lapor kepada pihak Perhilitan," jelasnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seekor beruang berguling kesakitan di atas jalan dipercayai selepas dilanggar dalam kejadian di KM422, LPT2 arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
Insiden tersebut dikongsi pengguna media sosial dikenali sebagai Khairul Nizam menerusi rakaman video berdurasi 59 saat di laman Facebooknya pada Isnin.
Menurutnya, dia antara individu terawal yang melalui kawasan itu serta sempat merakam keadaan beruang tersebut selepas dilanggar dalam kejadian yang berlaku pada Ahad.
Katanya, kesemua kenderaan terpaksa berhenti secara mengejut bagi mengelak daripada merempuh haiwan terbabit.