KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mencadangkan untuk membina sebuah santuari gajah di Pantai Timur menerusi kerjasama tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan bagi mengatasi masalah serangan gajah liar yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, cadangan tersebut merupakan langkah terbaik bagi mengurangkan serangan gajah liar sekali gus memastikan kelangsungan hidup mamalia itu pada jangka masa panjang.
"Bagaimanapun lokasi santuari masih belum dikenal pasti dan satu jawatankuasa khas akan diwujudkan melibatkan wakil tiga negeri serta jabatan berkaitan bagi perbincangan yang lebih serius tidak lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Biodiversiti Terengganu 2024 di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Razali berkata, serangan gajah liar tersebut berlaku kerana habitat asalnya semakin berkurang yang menjejaskan sumber makanan sehingga menyebabkan gajah terpaksa masuk ke kampung memusnahkan tanaman.
"Paling kita risaukan ialah serangan terhadap penduduk kerana mengancam keselamatan mereka. Apa yang berlaku sekarang, gajah-gajah yang ditangkap ini akan dilepaskan ke habitat yang terletak sempadan negeri berdekatan.
"Namun ia akan kembali menyerang lokasi penempatan yang lain sehingga menyebabkan masalah ini tidak berkesudahan.
"Jadi timbul cadangan untuk mewujudkan santuari ini supaya gajah-gajah yang telah ditangkap nanti diletakkan di satu tempat yang lebih sesuai untuk tiga negeri ini," jelas beliau.
Dalam pada itu, Razali berkata, ketika ini, dianggarkan terdapat 300 ekor gajah di Terengganu.
Katanya, kos pemindahan seekor gajah liar yang menyerang penempatan penduduk ke habitat asal pula akan menelan belanja antara RM50,000 hingga RM70,000.
Justeru, beliau berkata, langkah pencegahan seperti memasang pagar elektrik tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah serangan gajah liar setakat ini.
"Sudah pasti kos untuk mewujudkan santuari ini akan menelan belanja yang besar namun ia sangat penting untuk kelestarian sumber alam selain menjaga populasi gajah agar tidak berkurangan," ujarnya.