KUALA LUMPUR - Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mendakwa, masih terdapat ahli Parlimen yang tidak menghormati peraturan ditetapkan dengan merokok dalam bangunan Parlimen walaupun larangan telah dikeluarkan.
Beliau membangkitkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar kempen tidak merokok juga dilaksanakan seiring dengan amalan mengurangkan gula dalam makanan yang digerakkan.
Menurutnya, ahli Parlimen terlibat sepatutnya lebih sensitif dengan tidak merokok di bangunan Parlimen yang memberi kesan kepada individu tidak merokok.
"Tan Sri Speaker sudah baik hati sediakan tiga tempat untuk mereka boleh merokok di luar sana. Tapi masih lagi ada ahli Parlimen yang hisap rokok dalam bangunan Parlimen termasuk di bilik BBC (Kelab Penyokong Kerajaan).
"Pengerusi BBC mengadu kepada saya. Bila dia balik rumah, dia tak boleh pegang bayi dia yang baru umur beberapa bulan sebab satu badan bau rokok.
"Jadi ini suatu yang saya minta supaya Tan Sri Speaker dapat ambil perhatian dan ambil tindakan. Barangkali kita perlu beri pendidikan jangan hisap rokok, supaya jaga juga perasaan mereka yang lain yang tidak hisap rokok," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Johari dalam reaksi balasnya bersetuju dengan perkara dibangkitkan Poay Tiong dengan turut memberi amaran kepada ahli Parlimen yang merokok.
"Saya juga difahamkan oleh menteri kesihatan, mereka telahpun menempatkan pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk memerhatikan mereka yang merokok selain daripada tempat-tempat yang telahpun kita benarkan untuk di kompaun.
"Jadi kalau ahli berhormat dapat kompaun, jangan jumpa saya. Kalau jumpa saya, saya suruh gandakan bayaran tersebut," katanya.
Bermula 1 Oktober, kakitangan dan ahli Parlimen dihadkan merokok di tiga sudut merokok yang disediakan dalam bangunan itu, susulan kempen anti merokok yang dilaksanakan.