[VIDEO] Polis Kelantan rampas hampir 1 tan pil kuda

Iklan

KOTA BHARU - Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan pihaknya telah merampas hampir satu tan pil kuda sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini bermula Januari hingga Oktober.

Menurutnya, ia melibatkan nilai sehingga RM65.54 juta dan situasi itu sekali gus menunjukkan betapa seriusnya isu pil kuda atau dikenali sebagai yaba dan 'ubat gila' di negeri ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, terbaharu pada Isnin lalu pihaknya telah menahan seorang penganggur yang dipercayai pengedar ketika sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15Z menunggu 'pelanggan' di tepi jalan kampung, belakang Sekolah Kebangsaan Raja Bahar di sini.

Mohd Yusoff (dua dari kiri) menunjukkan pil kuda yang dirampas di tepi jalan kampung, belakang Sekolah Kebangsaan Raja Bahar, Kota Bharu pada Isnin lalu.

"Hasil pemeriksaan terhadap motosikal milik lelaki berusia 29 tahun itu telah menjumpai 18,000 biji dadah dipercayai pil kuda di dalam tiga bungkusan kertas di dalam raga.

Iklan

"Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM1,500 dipercayai hasil jualan dadah terbabit," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Mohd Yusoff (dua dari kiri) menunjukkan wang tunai yang dirampas dipercayai hasil jualan dadah.

Mohd Yusoff memberitahu, suspek yang berasal dari Tawang, Bachok itu didapati mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan hasil saringan ujian air kencing positif dadah jenis benzo.

Iklan

Ujarnya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan ialah RM174,500 dan 18,000 pil kuda itu dianggarkan boleh digunakan oleh 18,000 penagih.

Polis Kelantan mendedahkan pihaknya telah merampas hampir satu tan pil kuda sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini bermula Januari hingga Oktober.

Tambah beliau, lelaki terbabit direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut dan kes terbabit disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Yusoff berkata, suspek baru keluar dari penjara Julai lalu dan kembali aktif dengan dadah pada Ogos.