PUTRAJAYA - Setiap pekerja perlu membuat semakan teliti dalam menerima arahan pihak atasan jika ia didapati bercanggah dengan integriti serta polisi syarikat atau jabatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, langkah tersebut antara empat perkara yang mampu menyelamatkan seseorang daripada terpalit ke kancah rasuah.
"Apabila pekerja menerima sesuatu arahan daripada pihak atasan, mereka perlu melakukan semakan berkali-kali. Semakan merangkumi pelbagai aspek polisi di setiap bahagian dalam sesebuah organisasi.
"Setiap syarikat atau jabatan mempunyai banyak polisi antaranya kewangan, teknologi maklumat dan sumber manusia, jadi adakah ia melanggar polisi berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian selaku penalis program Integrity Talk: Penerapan Integriti Dalam Pekerjaan" Bukan Lupa, Tak Ingat" di Suruhanjaya Tenaga, di sini pada Rabu.
Menurutnya, sekiranya sesebuah organisasi itu tidak mempunyai polisi lengkap, semakan perlu dibuat sama ada ia melanggar undang-undang negara atau sebalinya.
"Ketiga, kita perlu semak, adakah arahan tersebut mempunyai kaitan dengan pemegang taruh sesebuah organisasi secara langsung atau tidak langsung.
"Keempat, tanya diri kita adakah sanggup untuk keluar di media dan media sosial kerana kesalahan rasuah," katanya.
Dalam pada itu, Nurhayati berkata, langkah berhati-hati itu perlu dijadikan amalan terutamanya apabila arahan berkenaan dikeluarkan secara lisan.
"Jika arahan secara lisan oleh pihak atasan, pekerja perlu dokumentasikannya agar ia boleh dijadikan rujukan pada masa akan datang.
"Contohnya tulis e-mel kepada bos anda. Tanya pengesahan arahan secara bertulis, ini yang boleh melindungi kita sebagai pekerja," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Samsul Salip turut senada dengan empat cadangan yang dikemukakan Nurhayati.
Jelasnya, terdapat kes seumpamanya dikendalikan beliau dalam siasatan berkaitan salah laku dan langkah tersebut menyelamat seorang penolong pegawai tadbir daripada diheret ke mahkamah.
"Keempat-empat langkah tersebut dilakukannya. Ditambah lagi dia merekodkan setiap arahan pihak atasan menerusi diari tugasan.
"Selain itu, dia juga berkongsi dengan pegawai atasannya mengenai arahan yang tidak betul dikeluarkan oleh pihak atasannya.
"Jadi, apabila kita masuk (siasat), dia mempunyai bukti-bukti kukuh melindunginya dan pegawai yang menjadi tempat beliau bercerita itu menjadi saksi," katanya.
Samsul turut menasihati semua pekerja agar sentiasa berhati-hati dalam menerima arahan agar ia tidak menjejaskan pekerjaan masing-masing.
"Kita perlu jaga 'periuk nasi' kita," katanya.
Program Integrity Talk: Penerapan Integriti Dalam Pekerjaan yang dihadiri oleh lebih 200 pegawai dan kakitangan ST dikendalikan oleh Pengarah Jabatan Undang-undang ST, Khairul Nizam Mohd Kamal selaku moderator.