KOTA BHARU - Dua bekas banduan berjaya dicekup selepas dipercayai merompak 20 kedai serbaneka di negeri ini sejak April lalu dalam serbuan di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.
Suspek yang dipercayai bergerak secara berkumpulan seramai tiga orang itu menyasarkan peti besi di dalam premis terbabit.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dua dari mereka yang berusia 33 dan 34 tahun berjaya ditahan manakala seorang lagi dipercayai ketua kumpulan, Muhammad Amir Izudin Mohd Izam, 26, masih lagi dikesan.
"Kesemua suspek disyaki aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Jeli.
"Modus operandi mereka merompak pada waktu malam dan menggunakan peralatan seperti pemotong gas 'oxy-acetylene' dan mesin canai untuk memecah masuk kedai serbaneka," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, suspek yang berusia 33 tahun didapati memiliki satu rekod jenayah dan tiga rekod dadah.
Ujarnya, manakala seorang lagi memiliki tujuh rekod jenayah serta empat rekod dadah.
Mohd Yusoff memberitahu, hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kedua suspek itu direman selama enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.