PELUMBA Costa Rica, Kevin Manuel Rivera Serrano daripada pasukan Androni Giocattoli-Siderme mengungguli Peringkat 4 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari Dataran Putrajaya ke Genting Highlands hari ini.
Pada perlumbaan yang dikenali sebagai peringkat Queen LTdL sejauh 156.1 kilometer (km) itu, Serrano, 21, berjaya menawan puncak Genting Highlands dengan catatan masa 4 jam 18 minit dan 55 saat (s).
Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Danilo Celano pula berada di tempat kedua dengan catatan masa 4:19:05s manakala juara edisi 2018, Artem Ovechkin yang menggalas cabaran Terengganu Cycling Team di tempat ketiga (4:19:38s).
Celano masih boleh berbangga apabila muncul selaku pelumba keseluruhan, sekali gus menyambar Jersi Kuning Petronas daripada Vino-Astana Motors, Yevgeniy Fedorov selepas mengumpul masa keseluruhan 14:08:28s. Namun, Fedorov kekal menyarung Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia).
Jersi Hijau Petronas (Raja Pecut) pula masih kekal menjadi milik pelumba NTT Pro Cycling, Maximilian Richard Walsheid sekalipun dia gagal menambah sebarang mata di tiga zon pecutan hari ini.
Para peminat berbasikal tempatan tetap pulang ceria apabila pelumba TSC, Muhammad Nur Aiman Zariff mengotakan janjinya dengan mengekalkan Jersi Merah (Raja Bukit) yang disarungnya selepas Peringkat 3 dari Temerloh, Pahang ke Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) semalam.