Isu rasuah politik, kewangan kebimbangan utama rakyat Malaysia - Ipsos

Iklan

SHAH ALAM - Isu rasuah politik, kewangan, pengangguran dan kemiskinan kekal menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia apabila rekod tinjauan Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) terus mencatatkan peningkatan.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu, walaupun rakyat Malaysia semakin yakin dengan masa depan ekonomi, namun mereka perlu diyakinkan bahawa masyarakat pada umumnya bebas daripada rasuah dan jenayah.

Iklan
Iklan

"Hal ini penting bagi mengekalkan tahap keyakinan jangka panjang terhadap hala tuju ekonomi negara. Bagaimanapun, rakyat Malaysia mempamerkan perkembangan sikap optimis yang ketara terhadap hala tuju negara.

"Pada masa ini, tujuh daripada 10 rakyat Malaysia percaya negara berada pada hala tuju yang betul dan ia peningkatan nyata sebanyak 19 peratus berbanding Oktober 2023," katanya.

Iklan

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengarah Urusan IPSOS, Evelyn Tan dan Eksekutif Kajian, Nur Sarah Abdullah.

Evelyn Tan.

Iklan

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, ketekalan perkembangan sikap optimistik tersebut menjadi petanda kepada harapan positif dalam kalangan rakyat.

Ujarnya, ia berlaku ketika sentimen penduduk di negara Asia Tenggara lain dan masyarakat global kekal sama atau semakin merosot sejak setahun lalu.

"Peningkatan sikap optimistik ini mempengaruhi sentimen ekonomi dan keyakinan pengguna secara positif. Lebih ramai orang di Malaysia berasa positif dengan keadaan ekonomi semasa.

"Sentimen ini meningkat sebanyak 33 peratus berbanding setahun lalu. Tahap keyakinan pengguna juga sama apabila ia mengalami peningkatan sebanyak 12 peratus sejak Oktober 2023," jelasnya.