JERANTUT - Suasana di Kampung Kedondong di sini seakan kembali ke zaman silam selepas lebih 3,000 pengunjung berbusana klasik sempena 'Program Moh Laa Wehh ke Pekan Sehari' 2024 baru-baru ini.
Pengunjung bukan sahaja dari sekitar Jerantut malah dari daerah lain antaranya Kuantan, Rompin, Lipis serta luar Pahang tidak ketinggalan memeriahkan program tersebut.
Program di Dewan Terbuka Kampung Kedondong dekat Pulau Tawar di sini juga menghidupkan kembali aktiviti pekan sehari selepas hampir 60 tahun tidak dijalankan di tapak tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kedondong dan Masjid, Mohd Rozi Rozuki berkata, program itu menggamit semula memori kemeriahan pekan sehari itu yang kali terakhir diadakan pada 1965.
Menurutnya, persiapan program itu dijalankan hampir sebulan dengan menampilkan lebih 30 peniaga pelbagai jenis produk dan makanan tradisional antaranya bubur lambuk, dodol kukus dan lain-lain.
"Kita akan buat program sebegini setahun sekali dan memang ada permintaan supaya dilakukan setiap minggu," katanya terdapat hampir 200 penduduk di kampung itu.
Bagi dua beradik, June Abdul Rahim,44 dan Umie, 38, teruja kerana dapat menyertai program itu.
Ujar mereka, kesemua tujuh beradik pulang daripada pelbagai lokasi pulang bersama ahli keluarga masing-masing untuk memeriahkan program yang disifatkan unik dan dialu-alukan.
Seorang bekas tentera, Khalisman Bidin, 54, yang kini menetap di Melaka turut sanggup pulang dan menyokong penganjuran program ini.
"Rasa terharu dapat rasa dan pulang ke kampung ini dengan suasana sebegini," ujarnya.
Seorang penduduk kampung, Razak Daud, 64 memberitahu program itu kembali mengingatkan kenangan ketika masih kecil bersama sepupu menjual pelbagai hasil ikan sungai di tapak pekan sehari tersebut.
"Hasil jualan kemudiannya dapat digunakan membeli pakaian di bandar," ujarnya.
Bagi peniaga, Norhaslinda Abdul Rahim, 48, mengalu-alukan program itu dan teruja kerana dapat merasai kemeriahan tersebut.
"Saya menjual bubur lambuk untuk program ini dan syukur dalam tempoh kira-kira sejam jualan semuanya habis," jelasnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah memberitahu program itu bukan sahaja dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat malahan boleh menjadi tarikan domestik.
"Kita akan mengetengahkan program ini kepada kerajaan negeri sebagai produk pelancongan di sini selain Galeri Mat Kilau, Makam Mat Kilau.
"Ia juga dapat mengeratkan silaturahim penduduk di sini yang turut menerima kunjungan luar Jerantut yang tertarik dengan konsep sebegini," tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang.