Bayaran akhir STR disalur mulai esok

Iklan
Pembayaran akhir STR bagi tahun ini akan disalurkan secara berperingkat mulai Khamis. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pembayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun ini akan disalurkan secara berperingkat mulai Khamis kepada 8.7 juta penerima yang melibatkan RM3.4 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan tunai tambahan one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8 juta penerima STR yang bukan daripada kumpulan miskin dan miskin tegar bermula Isnin depan.

Iklan
Iklan

"Sejumlah 700,000 penerima STR daripada kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima manfaat bantuan SARA sepanjang tahun," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, dengan penambahan bantuan tunai tersebut, isi rumah berkelayakan akan menerima sehingga RM1,000 untuk pembayaran akhir STR bagi tahun ini selaras dengan keprihatinan Kerajaan Madani yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Iklan

"Kerajaan telah menyalurkan hampir RM10 bilion kepada penerima STR dan SARA sepanjang tahun ini berbanding RM8 bilion tahun lalu," jelas Anwar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga mengambil pendekatan untuk membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

Iklan

Langkah itu katanya bagi memastikan mereka yang layak namun tiada dalam pangkalan data kerajaan tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat.

"Bagi mengurangkan golongan yang tercicir, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan selain data daripada beberapa agensi lain untuk disemak kelayakan STR 2025 mengikut syarat yang ditetapkan," ujarnya.

Pemohon STR boleh merujuk soalan lazim di portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihati agar berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

"Sebagai perlindungan daripada kes penipuan, pihak kementerian tidak membuat penghantaran perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu," tambah beliau.