WASHINGTON - Donald Trump mengisytiharkan kemenangannya selepas beliau mendahului keputusan awal Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.
Calon Parti Republikan (GOP) menerusi ucapannya di parti kempen di Florida menyifatkan rakyat negara itu bakal menyambut ketibaan 'zaman keemasan baharu'.
Trump memerlukan hanya satu lagi negeri untuk diumumkan secara rasmi sebagai pemenang apabila memperoleh 270 undi pilihan raya yang diperlukan, sekali gus melayakannya kembali semula ke Rumah Putih.
Bilionair hartanah sarat kontroversi itu juga diunjurkan memenangi kawalan majoriti di Dewan Senat.
"Ia adalah kejayaan besar buat rakyat Amerika yang membolehkan kita menjadikan negara ini hebat kembali," katanya di West Palm Beach pada pagi Rabu ketika melaungkan slogan popular beliau, Make America Great Again.
Bilionair, Elon Musk yang merupakan antara pembiaya utama kempen Trump turut berada bersama beliau ketika calon GOP bersama para penyokongnya menanti keputusan kiraan undi yang dilakukan di setiap negeri.
Keputusan awal juga menunjukkan Trump dijangka menyapu bersih di ketujuh-tujuh swing states dan berkemungkinan memenangi undi popular secara keseluruhan yang gagal diraih beliau ketika pemilihan pada 2016.
Rangkaian media tempatan mengunjurkan kemenangan Trump di Pennsylvania, Carolina Utara dan Georgia setelah Trump mendahului kiraan undi di Nevada.
Seperti dijangkakan, Trump menguasai kubu kuat konservatif dari Florida hingga Idaho manakala Harris yang tampil cemerlang sepanjang berkempen menang di negeri liberal dari New York ke California. - Agensi