SHAH ALAM - Portal dan akhbar sisipan Sinar Harian, Sinar Bestari bakal melebarkan sayap dalam bidang pendidikan menerusi penubuhan Akademi Pendidikan Sinar Bestari (Akademi) pada tahun hadapan.
Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian, Meen Tahrin berkata, Akademi itu akan menyediakan platform latihan, kursus, berkongsi pengalaman serta pengetahuan bersama tenaga pendidik serta pelajar sekolah seluruh negara.
"Selain itu kita bercadang melaksanakan pelbagai pertandingan seperti robotik, kawad kaki atau apa sahaja pertandingan melibatkan pelajar kerana tidak mahu mereka 'tersekat' hanya dalam bilik darjah.
"Kita mahu pelajar merasai dan menimba pengalaman lebih luas dengan menuntut ilmu bersama Kumpulan Karangkraf agar lebih ramai yang mendapat manfaat daripada penubuhan Akademi tersebut," katanya ketika ditemui selepas Festival TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari yang berlangsung di Karangkraf pada Rabu.
Sebagai rekod, Sinar Bestari dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) menganjurkan majlis anugerah Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2024 yang menjadi platform kepada murid sekolah rendah dan menengah mengetengahkan bakat dalam bidang kewartawanan, media dan pengacaraan.
Fokus utama festival tersebut adalah untuk menonjolkan kemahiran berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknik penyampaian berkesan, kemahiran berfikir dan komunikasi.
Dalam pada itu Meen turut berharap lebih banyak pihak terutama syarikat swasta akan tampil dan menyokong usaha murni Sinar Bestari agar kemenjadian pelajar dapat direalisasikan.
Secara tidak langsung ujarnya, mampu membantu KPM menyediakan pendidikan terbaik untuk generasi akan datang.
"Dengan kejayaan festival yang berlangsung pada hari ini serta pandangan daripada golongan pendidik dan pelajar, Sinar Bestari akan meneruskan program seperti ini pada tahun hadapan dengan menjelajah lebih banyak negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Kita juga sudah mendapat jemputan daripada jabatan pendidikan negeri berkenaan dan Insya-ALLAH, kita akan menjelajah ke sana," ujarnya.
Pengalaman guru jadi panduan hasilkan video
Menjadikan rutin harian melalui Sungai Bertih, Klang, sebagai panduan penghasilan video TV PSS, Muhd Aimaduddin Mohd Radeh tidak menyangka idea tersebut membawa tuah kepada pasukannya apabila dinobatkan sebagai johan Video TV PSS Terbaik bagi kategori sekolah menengah.
Guru Penyelaras TV PSS Sekolah Menengah Agama (SAM) Sultan Hisammudin itu berkata, keadaan sungai yang tercemar dengan sampah sarap menjadi jalan cerita yang diketengahkan dalam video pendek sempena Festival TV PSS kali ini.
"Kita tertanya-tanya bagaimana sampah boleh berada di kawasan itu, pihak mana yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan sebagainya.
"Dari situ, kami hasilkan video untuk merungkai permasalahan yang berlaku dan menghasilkan skrip serta jalan cerita untuk keseluruhan video pendek," katanya.
Sementara itu video 'Epik Tiga Sahabat’ yang dihasilkan pasukan TV PSS Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Ara, Perak, dinobatkan sebagai johan Video Terbaik kategori sekolah rendah.
Guru Penyelaras TV PSS sekolah tersebut, Siti Syardia Erdina Mohamed berkata, pasukannya berjaya menyiapkan naskah itu dalam tempoh tujuh hari disebabkan kekangan masa.
"Kami tidak mempunyai masalah dari segi pemilihan pelakon kerana murid tahun empat dan lima sekolah ini ramai yang berbakat.
"Tema pendidikan berkualiti menjadi pilihan kami dan Alhamdulillah, murid dan guru memberikan komitmen terbaik dalam penghasilan video ini,” katanya.
Selain dua kategori tersebut, enam kategori lain yang turut dipertandingkan antaranya Guru TV PSS Terbaik, Pengarah Terbaik, Pengacara Terbaik, Jurukamera Terbaik, Skrip Terbaik, Penyunting Video Terbaik dan Anugerah Khas Juri Sinar Harian.
Anugerah Khas Juri Sinar Bestari
Memaparkan aktiviti harian Syed Ahmad Nafis Syed Mohd Kamarulhisyam yang mengidap penyakit kelewatan perkembangan global (GDD) berjaya menambat hati juri sekali gus menobatkan SK Bandar Jerantut, Pahang, sebagai penerima Anugerah Khas Juri Sinar Bestari.
Dokumentari pendek mengenai kehidupan murid berumur 12 tahun itu melibatkan peranan ibu bapa serta kegigihan dan kesabaran golongan guru dalam mendidik anak-anak syurga.
Syed Ahmad Nafis berkata, dia amat menghargai peranan dan tanggungjawab guru yang tidak pernah penat mengajar murid berkeperluan khas seperti dirinya.
"Ini tahun akhir saya di sekolah dan telah banyak yang saya belajar di sini.
"Terima kasih atas segala kisah manis tentang makna kehidupan selama enam tahun saya di sekolah ini,” katanya.