RANCANGAN realiti nyanyian nombor satu Astro, Gegar Vaganza (GV) kini kembali dengan permulaan baharu dalam musim kesebelasnya.
Kali ini, Astro menggandingkan artis-artis Malaysia, Indonesia dan Singapura yang pernah popular, menggamit semula zaman-zaman kegemilangan mereka dalam industri muzik, sekaligus mengubati rindu para peminat yang ingin melihat mereka bersinar semula di atas pentas dengan cabaran dan persaingan yang baharu.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad berkata, GV akan membawa kembali penyanyi-penyanyi yang pernah tular atau evergreen ke pentas prestij.
"Tidak lekang di mulut penggemar-penggemar muzik, bintang-bintang ini pernah mencipta sejarah dengan lagu-lagu serta bakat mereka. Malah, ada di antara lagu-lagu mereka yang masih menjadi pilihan di mana-mana.
"Kami amat berbangga kerana barisan peserta pada musim kali ini merupakan antara nama-nama terbesar di persada muzik tempatan dan serantau.
"Ternyata GV masih mampu menarik penyertaan bintang-bintang besar, lantas menunjukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk para peminat tetapi juga artis-artis di serantau Malaysia, Indonesia dan Singapura," katanya.
Antara nama yang bakal menjadi perhatian ramai musim ini adalah Liza Aziz, Ning Baizura, Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Reshmonu, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrora Salwa dan Zehra Zambri.
Lebih hangat lagi, musim ke-11 menyaksikan penglibatan lagenda dari Indonesia iaitu Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima yang dianggotai oleh Taura, Bony dan Arif.
Barisan juri masih diketuai Datuk Ramli MS bersama Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi lagenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
Rancangan ini turut membawa kembali duo kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara. Manakala Vazz Vaganza akan dihoskan oleh Dina Nadzir selama 30 minit sejurus selepas konsert utama, menampilkan diskusi, wawancara dan soal jawab bersama barisan peserta GV11.
GV11 akan berlangsung selama 12 minggu bermula pada 24 November ini, jam 9 malam dan bersiaran dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
Masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada akan disingkirkan.
Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, naib juara pula akan meraih RM50,000 dan tempat ketiga akan menerima RM30,000. Manakala tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.