'Orang luar' merempit di Port Dickson

Iklan
Maslan menunjukkan statistik kemalangan di daerah Port Dickson

PORT DICKSON - Kebanyakan kes samseng jalanan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dilakukan 'orang luar' yang datang bercuti ke daerah itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, ia berdasarkan tangkapan terhadap suspek lelaki yang kebanyakannya berusia lingkungan 17 hingga 21 tahun.

Iklan
Iklan

"Kes-kes lumba haram dan menunjukkan pelbagai aksi berbahaya ini kita kategorikan sebagai samseng jalanan sama ada melibatkan motosikal atau motokar.

"Kebanyakan mereka ini adalah pengunjung luar dari Port Dickson dan datang ke sini sekadar mahu berjalan tetapi ambil kesempatan menunjukkan aksi dan kehebatan masing-masing ketika di lebuh raya," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, setiap minggu akan ada tangkapan kes samseng jalanan antara seorang hingga empat orang yang ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, pihaknya mendapati, keadaan bentuk muka bumi SPDH yang lurus dan tiada halangan di Kilometer(KM) 17 hingga KM25 menyebabkan golongan mat rempit teruja untuk beraksi.

Iklan

Bagaimanapun, beliau menolak tanggapan sesetengah pihak yang lebuh raya terbabit telah dijadikan sebagai litar lumba, sebaliknya apa yang berlaku adalah tanpa dirancang.

"Kebanyakan kes samseng jalanan yang kita tangkap ini di KM17 hingga KM25 yang mana ia jadi tumpuan disebabkan keadaan muka bumi jalan itu yang lurus berbanding KM lain yang agak berselekoh.

"Tapi mereka ini bukannya dari awal sudah merancang perlumbaan, tapi sekadar mahu menunjukkan aksi dan biasanya dikesan memulakan pergerakan antara jam 11 pagi hingga 2 petang,"katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 48 tangkapan kes samseng jalanan direkodkan dari Januari hingga Oktober lalu iaitu meningkat 10 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ujarnya, dalam tempoh berkenaan, sebanyak 2,555 kes kemalangan jalan raya direkodkan tahun ini berbanding 2,255 kes tahun lalu.

"Daripada jumlah kemalangan yang berlaku tahun ini, 23 kes adalah kemalangan maut manakala 25 kes adalah kemalangan parah,"katanya.

Dalam pada itu Maslan berkata, setiap hujung minggu, dianggarkan lebih 60,000 kenderaan direkodkan memasuki Port Dickson dan penguatkuasaan pihaknya akan dilakukan secara berterusan.

Tambahnya, sepanjang Januari hingga Oktober, sebanyak 13,392 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan iaitu meningkat 690 saman berbanding tempoh sama tahun lalu.