Pelabur, syarikat China semakin berminat terhadap Malaysia - Anwar

Iklan
Anwar (empat dari kanan) ketika menghadiri sesi dialog dengan pelabur China anjuran Khazanah Nasional Bhd. Foto Bernama

SHANGHAI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, minat dan kecenderungan pelabur dan syarikat dari China terhadap Malaysia dilihat semakin meningkat.

"Ini satu perkembangan yang sangat positif,” katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan sesi meja bulat dengan lebih 20 pemimpin industri, di sini, hari ini.

Iklan
Iklan

Anwar berkata, sesi tersebut membincangkan antara lainnya berkaitan dasar negara yang melibatkan peraturan dan juga pelaburan.

"Jadi saya lihat ada kecenderungan dan minat (pelabur dan syarikat) China yang meningkat,” kata beliau.

Iklan

Ditanya tentang jumlah potensi pelaburan, Perdana Menteri menjawab ringkas,"Jumlah (pelaburan) esok kita umum.”

Anwar memulakan harinya dengan menghadiri sesi dialog dengan pelabur China anjuran Khazanah Nasional Bhd.

Iklan

"Orang kata dalam bahasa.. melelahkan daripada pagi tak putus kita adakan pertemuan ini, tetapi saya fikir bermanfaat,” kata beliau.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berasingan berkata, Anwar mengadakan perbincangan produktif bersama beberapa pelabur utama China pada hari ketiga lawatan kerja beliau ke sini.

Antara pelabur terlibat termasuklah Chengwei Capital, firma modal teroka terkemuka yang memiliki kepakaran dan sumber semikonduktor global dan NRL Capital, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan pembangunan kelompok industri berteknologi tinggi di China.

PMO berkata, perbincangan tertumpu kepada kepentingan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dengan ketersediaan tenaga kerja berbakat kita dan dasar Kerajaan yang menyokong.

Selain itu, Perdana Menteri turut membincangkan potensi kerjasama berkaitan pelaburan teknologi dan inovasi ke Malaysia bersama para pelabur tersebut.

"Pelabur ini akan bekerjasama dengan Khazanah membina syarikat generasi akan datang Malaysia untuk meningkatkan lagi kekuatan Malaysia dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

"Ini akan memacu visi Ekonomi Madani untuk menggalakkan inovasi dan menjadikan teknologi lebih mudah diakses dan inklusif kepada semua orang," katanya.

Selain sesi dialog dan rundingan meja bulat, Perdana Menteri turut bertemu dengan wakil dari Bank of China, SinoChem, SICC Co Ltd, SEMCORP, dan Zhejiang Jiahua Energy Chemical Industry Co Ltd dalam mesyuarat perniagaan bersemuka.

Perdana Menteri dijadual berlepas ke Beijing dari Shanghai pada petang ini.

Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Lawatan kerja Perdana Menteri ke China adalah atas jemputan rakan sejawatannya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ke-7 (CIIE ke-7) di sini.

CIIE ialah pameran perdagangan yang dianjurkan oleh kerajaan China untuk menyediakan platform kepada negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi mempromosikan dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke negara itu.

Selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global.

Pada 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Sehingga September 2024, jumlah dagangan yang direkodkan ialah sebanyak RM355.15 bilion (AS$76.72 bilion).

Pada tempoh Separuh Pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan pelaburan berjumlah RM1.2 bilion (AS$252.5 juta).

Lawatan ini merupakan lawatan ketiga Anwar ke China susulan lawatan sulung beliau ke negara itu pada Mac 2023, diikuti pada September tahun yang sama.

Bagaimanapun, ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke Shanghai.

Lawatan kerja empat hari Perdana menteri akan berakhir di Beijing pada 7 November.- Bernama