KUALA LUMPUR - Seorang bekas penghantar barang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan dua pertuduhan iaitu merogol kekasihnya yang berusia 12 tahun, dua tahun lepas.
Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Nazmi Aiman, 21, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu hari ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan hukuman penjara itu berjalan berasingan bermula hari ini, menjadikan kesemuanya berjumlah 12 tahun.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap serorang kanak-kanak perempuan yang berusia 12 tahun dan 10 bulan ketika kejadian di sebuah unit kediaman dan di tangga blok apartmen di Cheras pada 11 pagi, 24 September 2022 dan jam 12.30 malam, pertengahan Oktober tahun sama.
Kedua-dua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah dijemput tertuduh dengan menggunakan motosikal untuk ke rumah tertuduh.
Semasa berada di rumah berkenaan, tertuduh menarik tangan mangsa ke bilik dan kemudian merogol mangsa sebelum menghantarnya ke sebuah bistro berhampiran rumah tertuduh.
Pada pertengahan bulan Oktober 2022, tertuduh sekali lagi telah mengajak mangsa berjumpa di tangga lalu merogol mangsa.
Mangsa menceritakan kejadian yang berlaku kepada ahli keluarganya dan satu laporan polis dibuat oleh ibu saudara mangsa.
Selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, ibu bapa tertuduh yang berada di galeri awam meluru ke arah anak lelaki mereka dan ibunya dilihat memeluk anaknya sambil menangis.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira mangsa dalam kes ini merupakan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun semasa kejadian.
"Walaupun hubungan mereka adalah kekasih, namun ia bukanlah satu tiket untuk tertuduh mengambil kesempatan ke atas mangsa yang usianya masih muda. Bukan cinta namanya sekiranya ia bertopengkan nafsu semata-mata. Tertuduh juga seorang yang dipercayai mangsa sepatutnya melindungi mangsa dan bukannya mengambil kesempatan ke atasnya," kata Noor Shakira.
Peguam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk bon bercagar berserta syarat tambahan atau satu perintah kehadiran wajib bagi menggantikan hukuman penjara atas alasan ini merupakan kesalahan kali pertama tertuduh."Kejadian berlaku ketika tertuduh berusia 19 tahun dan dia telah menyesal dengan perbuatannya. Pemenjaraan terhadapnya pada usia 21 tahun tidak akan memberi apa-apa manfaat kerana dia masih muda serta perjalanan hidup tertuduh masih jauh. Hukuman penjara akan menjadi satu titik hitam terhadap tertuduh yang tidak dapat dipadamkan sampai bila-bila.
"Dalam kes ini, tertuduh mempunyai hubungan rapat dengan mangsa dan mengenali mangsa lebih kurang empat bulan serta mereka sering berjumpa dan keluar sebagai pasangan kekasih," kata peguam itu. - Bernama