SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan kekal dengan pendirian merujuk dan menggunakan pewartaan sesat bagi Penyelewengan al-Arqam pada 2016 terhadap ajaran dan kepercayaan pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini.
Justeru, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiada keperluan untuk mengeluarkan fatwa lain berkaitan GISBH kerana kepercayaan mereka adalah sama seperti ajaran dan kepercayaan al-Arqam yang telah diwartakan sesat.
"Apabila mereka cuba menghidupkan semula Aurad Muhammadiah itu, ia tetap sesatlah. Sudah ada peraturan, jadi untuk apa kita buat satu lagi peraturan... tetapi terpulang kepada negeri lainnak buat tetapi di Negeri Sembilan (tiada keperluan).
"Enakmen sedia ada itu sudah mencukupi, apabila mengimani sesuatu yang bukan daripada ajaran sebenar, ia sesatlah. Kita tahu mereka menjurus ke arah itu, maka sesatlah.
"Jika kepercayaan al-Arqam itu telah diharamkan, maka ia tertakluk kepada enakmen yang sama (termasuk GISBH),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Mufti Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin dilaporkan berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan mendapati ajaran dan kepercayaan GISBH adalah sama seperti ajaran dan kepercayaan al-Arqam yang diwartakan sesat di negeri ini pada 2016.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan negeri turut meminta pengikut GISBH di negeri ini supaya mendaftarkan diri bagi mengikuti program rehabilitasi secara sukarela.
Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan secara kolaborasi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu adalah bagi menjamin aspek akidah dan kelangsungan hidup ahli-ahli GISBH.
Saya merayu kepada pengikut GISBH di luar sana yang ingin mengikuti proses pemulihan atau rehabilitasi ini supaya mendaftarkan diri mereka. Pemulihan ini akan dijalankan selama tiga bulan,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Baharuddin Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan menawarkan program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli GISBH yang masih bebas di negara ini untuk mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar.
Beliau berkata, pendaftaran itu dibuka sehingga 14 November depan serta mengalu-alukan penyertaan ahli organisi berkenaan tanpa mengira usia dan jantina. - Bernama