Dengar Adam laung Allahuakbar sebelum tenggelam

Iklan
Jenazah Adam Benjamin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, pada Rabu.

PASIR GUDANG - Bergelut untuk mengapungkan diri dan mendengar suara rakan menjerit meminta tolong serta melaungkan Allahuakbar sebelum tenggelam menjadi detik yang tidak dapat dilupakan Muhammad Firhan Karim, 23.

Muhammad Firhan merupakan mangsa bot hanyut di Sungai Johor, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Ahad lalu, yang meragut nyawa Adam Benjamin Rosman, 15.

Iklan
Iklan

Bercerita lanjut, Muhammad Firhan berkata, semasa mengapungkan diri dalam laut dia terdengar jeritan Adam memanggilnya meminta tolong.

Muhammad Firhan

Iklan

"Saya bergelut cuba mengapungkan diri dalam keadaan badan yang sudah lemah tiada tenaga dan kedua-dua kaki kejang.

"Pada masa itu, air sudah masuk dalam tekak dan mata kabur, rasa mahu pitam. Saya hanya ingat ALLAH dan sebut kalimah ALLAH. Tiba-tiba datang ribut membawa gelombang besar dan menenggelamkan saya.

Iklan

"Saya terdengar jeritan Adam beberapa kali meminta tolong dalam keadaan tangannya terkapai-kapai. Kemudian saya mendengar dia menjerit Allahuakbar tiga kali sebelum tenggelam," katanya di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian Ahad lalu, Muhammad Firhan bersama Adam Benjamin dan Irfan Mohamad Faizal, 21, pergi memancing dengan menaiki bot di sungai berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa menghentikan aktiviti memancing dan berteduh di struktur tiang pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran disebabkan hujan lebat dan angin kencang.

Mereka mendakwa tali bot fiber yang diikat pada struktur tiang pencawang TNB terputus dan hanyut sebelum Adam terjun untuk menyelamatkan bot daripada terus hanyut diikuti Muhammad Firhan dan Irfan.

Rakan dan saudara Allahyarham Adam Benjamin memberi penghormatan akhir di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, pada Rabu.

Ketiga-tiganya dibawa arus deras dan berpisah antara satu sama lain sebelum Muhammad Firhan berjaya menyelamatkan diri manakala Irfan diselamatkan pekerja warga asing berhampiran rumah rakit.

Mayat Adam kemudian ditemukan dalam keadaan terapung pada jam 3.30 petang Selasa, selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Bercerita lanjut Muhammad Firhan memberitahu, selepas berterusan menyebut kalimah ALLAH selama kira-kira 10 minit berlaku satu keajaiban apabila bot yang hanyut sebelum ini tiba-tiba menghampirinya selepas ditiup angin kencang.

Dia mengumpul semula kekuatan dan berjaya masuk dalam bot yang masih tidak terbalik sebelum segera menghantar mesej kepada abangnya, Muhamad Faizal, 29, untuk meminta bantuan.

Muhamad Faizal

Ujarnya, bot yang hanyut itu tidak terbalik dan semua barang serta peralatan termasuk telefon bimbit mereka masih berada dalam bot.

Sementara itu, Muhamad Faizal berkata, dia yang kebetulan berada di Jeti Sungai Penderam bergegas dengan seorang rakan sekampung ke lokasi kejadian selepas menerima mesej sekitar jam 2.55 petang.

"Saya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke lokasi dan apabila tiba mendapati Firhan sudah terlentang dalam bot.

"Usaha mencari dilakukan bersama-sama pasukan keselamatan sebelum Irfan yang terpisah dengan adik saya dan Adam diselamatkan empat pekerja warga asing di sebuah rumah rakit.

"Irfan berpaut pada tong gas kecil selama kira-kira 40 minit juga. Selepas itu kami mencari Adam di kawasan perairan Pelabuhan Johor sehingga ke sempadan Singapura tetapi tidak berhasil,” katanya.

Dalam pada itu, ibu Adam Benjamin, Nur Hidayah Abdul samad, 40, bersyukur kerana upacara pengebumian Allahyarham anaknya itu berjalan lancar termasuk dihadiri rakan dan guru sekolah anaknya.

Beliau berkata, anak keempat daripada tujuh beradik itu sudah meminta izin daripadanya untuk pergi memancing bersama-sama rakannya pada hari kejadian.

Jenazah Adam Benjamin selamat dikebumikan pada jam 12.50 tengahi Rabu, dengan dihadiri hampir 100 ahli keluarga, saudara-mara, guru dan rakan.