Lima gajah liar ceroboh kebun berjaya ditangkap

Iklan
Gajah yang mengganggu kebun penduduk di Kampung Dendong, Batu Melintang berjaya ditangkap perhilitan Kelantan. Foto ihsan Perhilitan

JELI - Populasi gajah liar yang berada di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor di sini dianggarkan lebih daripada 50 ekor.

Justeru, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan operasi tangkapan lima gajah pada Rabu yang mengganggu kebun penduduk di Kampung Dendong, Batu Melintang berhampiran dengan HSK itu bukanlah penyelesaian jangka panjang.

Iklan
Iklan

Pengarah Perhilitan Negeri Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan mengenai gangguan gajah di kampung berkenaan pada Selasa.

"Jabatan ingin memaklumkan tangkapan dan pemindahan gajah liar bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran dengan HSK Gunung Basor.

Iklan

"Walaupun tangkapan ini melegakan penduduk kerana dapat mengelak kerugian dari kemusnahan tanaman dan harta benda, namun populasi gajah liar yang berada di HSK itu dianggarkan lebih daripada 50 ekor,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Gajah liar yang berjaya ditangkap Perhilitan Kelantan. Foto ihsan Perhilitan

Iklan

Sehubungan itu, Mohamad Hafid mencadangkan pekebun mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan parit gajah atau Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi mengurangkan gangguan gajah.

"SPEG adalah salah satu kaedah paling berkesan bagi menghalang gajah memasuki kawasan kebun dan perlu dibina dengan mengikut

spesifikasi sepatutnya supaya berfungsi dengan baik.

"Penduduk juga dinasihatkan agar lebih berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar selain tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa,” katanya.

Operasi tangkapan gajah berkenaan melibatkan kakitangan dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah Negeri Kelantan.

Proses pemindahan dan pelepasan gajah-gajah ini ke habitat yang lebih sesuai serta selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang serta Perhilitan Kelantan.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.