SPRM sekali lagi periksa premis, kediaman pengasas platform e-dagang

Iklan
Azam Baki

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu sekali lagi membuat pemeriksaan ke atas beberapa premis termasuk kediaman milik pasangan pengasas platform e-dagang di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemeriksaan itu bertujuan mendapatkan dokumen dan eksibit berkaitan serta maklumat aset dimiliki pasangan berkenaan bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

"Pegawai saya mengikuti mereka pergi ke rumah mereka dan mana-mana premis berkaitan untuk buat siasatan lanjut. Pegawai saya dalam proses buat siasatan terhadap premis dimiliki dua pasangan berkenaan untuk tujuan siasatan lanjut seperti ambil dokumen dan sebagainya.

"Apa-apa perkembangan lanjut kita akan maklumkan, jadi siasatan kedua-dua ini masih lagi berjalan sebenarnya,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Terdahulu, pasangan suami isteri berkenaan hadir di Ibu Pejabat SPRM di sini pada jam 12.54 tengah hari untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Selepas hampir tiga jam, kenderaan yang membawa pasangan itu dilihat meninggalkan pekarangan ibu pejabat SPRM pada jam 4.23 petang dengan pegawai yang memakai jaket SPRM turut dilihat berada dalam kenderaan berkenaan.

Iklan

Menurut Azam, siasatan kes masih di peringkat awal dan semalam serta hari ini merupakan proses merekod keterangan pasangan itu yang diteruskan dengan pemeriksaan dokumen dan aset.

Beliau turut mengesahkan SPRM telah mengambil keterangan daripada tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes berkenaan namun tidak memberikan perincian lanjut.

Setakat Isnin lepas, Azam dilapor berkata empat saksi dari PNB, Khazanah, dan Kementerian Kewangan telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan terbabit.

Pada hari yang sama, SPRM juga telah menyerbu pejabat sebuah perniagaan fesyen dalam talian tempatan dan tiga premis lain serta merampas pelbagai dokumen untuk tujuan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - Bernama