Semua negeri setuju jumlah jam, hari bekerja guru KAFA diselaraskan dan ditingkatkan

Iklan
Mohd Na'im pada sesi menjawab Perbahasan Belanjawan 2025 sempena Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat ke Tiga Penggal Ke Tiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kesemua negeri bersetuju jumlah jam dan hari bekerja bagi guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) diselaras serta ditingkatkan untuk terus memelihara kebajikan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, perkara itu adalah hasil sesi libat urus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Agensi Pelaksana KAFA Negeri dan Kementerian Pendidikan (KPM) dari 2022 hingga 2024.

Iklan
Iklan

Selain itu, beliau berkata, hanya 47 peratus ketersediaan premis yang bersesuaian bagi lima hari persekolahan KAFA.

"Selaras dengan keprihatinan masyarakat terhadap guru KAFA dan seiring dengan usaha mempertimbang pemberian jawatan tetap dan berpencen kepada mereka maka pelaksanaan rintis KAFA Perdana akan dilaksana bagi membolehkan (jumlah) jam dan hari bekerja guru ditingkatkan.

Iklan

"Justeru, perbincangan selanjutnya akan diadakan bersama Kementerian Kewangan bagi permohonan rayuan bayaran elaun kepada guru KAFA rintis tertakluk kepada keadaan semasa kewangan negara dan kelulusan pihak berkaitan,” katanya pada sesi Penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Mohd Na'im berkata, kerajaan menerusi Jakim sentiasa berusaha memelihara dan meningkatkan kebajikan 35,000 guru KAFA yang merupakan jentera utama pemerkasaan pembelajaran pendidikan Islam di negara ini.

Iklan

Beliau juga berkata, Jakim telah mengeluarkan Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bilangan 1 Tahun 2014 mengenai keputusan jabatan itu serta Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) bahawa permohonan pensijilan halal Malaysia hendaklah diurus secara terus oleh pemohon tanpa melalui pihak ketiga.

Bagaimanapun, Jakim dan MAIN/JAIN tidak menghalang pihak syarikat untuk melantik pihak tertentu bagi membantu dan membimbing industri dalam membangunkan sistem pengurusan halal dalaman syarikat ke arah mematuhi segala keperluan pensijilan halal.

"Dalam urusan pelantikan konsultan pihak syarikat, ia berdasarkan pemilihan dan persetujuan pihak syarikat sendiri tanpa campur tangan atau keterlibatan Jakim atau MAIN/JAIN.

"...pelantikan tersebut di bawah tanggungjawab syarikat dan tidak mempengaruhi keputusan permohonan pensijilan yang dikeluarkan oleh Jakim atau MAIN/JAIN,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan teks ucapan penggulungan Mohd Na’im yang diedarkan kepada media di Parlimen, beliau berkata, Jakim memperkukuh jalinan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui pertukaran maklumat dan kordinasi penguatkuasaan bagi membendung isu berkaitan ajaran sesat termasuk menurunkan kandungan berunsur ajaran sesat di media sosial.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran pula berkata, cadangan meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 bagi membolehkan Ahli Majlis dilantik sama seperti yang dilaksana oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negara akan dipertimbang.

Kulasegaran, yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu berkata, tindakan lanjut akan diambil termasuk mengadakan perjumpaan antara Datuk Bandar, pemegang taruh dan Ahli Parlimen di Kuala Lumpur. - Bernama