KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sedia mempertimbangkan tiga permintaan dikemukakan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kepada kementerian itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Beliau berkata, permintaan berkenaan adalah menaik taraf Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak selain menyediakan peruntukan khas untuk skuad lebuh raya negara dan peruntukan persatuan bagi menganjurkan kejohanan-kejohanan pada masa akan datang.
"Ketiga-tiga ini adalah permintaan mereka (PKBM) dan kita akan bagi keputusan. Bila ada permintaan kita akan lihat dahulu dan maklum kemudian. Untuk Velodrom Rakyat itu saya akan mengadakan lawatan bersama PKBM selepas Sidang Parlimen tamat.
"Permintaan peruntukan untuk skuad lebuh raya adalah jangka panjang, pembiayaan kekal yang mereka minta. Satu ketika dahulu ada (peruntukan itu) tetapi dihentikan pada 2013,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan KBS bersama PKBM di MSN di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, perbincangan bersama MSN untuk menyenaraikan semula sukan boling padang dalam Program Podium kini berada di fasa akhir.
"Saya telah berjumpa Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz, memang untuk atlet lelaki sudah nombor satu di dunia.
"Perkara ini sedang dibincangkan di peringkat MSN kerana kita dalam peringkat terakhir untuk memuktamadkan perkara itu,” katanya.
Hannah turut mengingatkan persatuan sukan kebangsaan agar tidak menganjurkan kejohanan terutamanya di peringkat antarabangsa tanpa meminta kebenaran kementerian.
Beliau menegaskan setiap persatuan perlu memastikan mereka mempunyai dana yang mencukupi supaya setiap kejohanan dapat dianjurkan secara teratur tanpa sebarang masalah.
"Kabinet telah meminta supaya setiap persatuan pergi membida untuk jadi penganjur kejohanan antarabangsa. Mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada menteri dahulu, kerana ada banyak kes dahulu persatuan tak ada dana kemudian mereka teruskan tetapi tidak anjur dengan betul.
"Jadi ada peserta keracunan makanan dan sebagainya dan nama Malaysia juga terkesan. Oleh itu kerajaan dan Jemaah Menteri telah meminta supaya kita hantar surat amaran. KBS juga sudah hantar kepada semua persatuan yang ada kemampuan kewangan dan dapatkan kebenaran kerajaan,” katanya. - Bernama