Grid elektrik negara akan dibangunkan, ditambah baik - Fadillah

Iklan
Fadillah pada sesi menjawab Perbahasan Belanjawan 2025 sempena Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat ke Tiga Penggal Ke Tiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, rangkaian grid pembekalan elektrik negara akan dibangunkan dan ditambah baik secara berterusan supaya mampu menampung peningkatan permintaan bekalan termasuk sistem pengecas kenderaan elektrik (EV).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri PETRA berkata, pengukuhan grid kebangsaan bagi menyokong pembekalan elektrik termasuk EV Charging Station telah pun diambil kira dalam perbelanjaan modal Tenaga Nasional Bhd menerusi mekanisme Incentive Based Regulation (IBR).

Iklan
Iklan

Katanya, pihak kementerian komited dalam menyokong agenda dan inisiatif semasa kerajaan untuk merancakkan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia.

Menurutnya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan PETRA telah menyediakan perancangan dan pembangunan pelan pembangunan stesen pengecasan EV dan program penggalakan penggunaan EV yang komprehensif.

Iklan

"Sehingga kini, jumlah stesen pengecasan EV di seluruh negara adalah sebanyak 3,171 buah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Selain itu, Fadillah berkata, selaras dengan fungsi kementerian, PETRA melalui Suruhanjaya Tenaga bertanggungjawab untuk mengawal selia aspek keselamatan pepasangan dan peralatan pengecas EV, bagi memastikan supaya keselamatan awam adalah sentiasa terjamin.

Iklan

"Kerajaan akur bahawa usaha untuk mencapai aspirasi peralihan tenaga bagi sektor bekalan elektrik terutamanya untuk meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 memerlukan gandingan usaha daripada pelbagai pihak.

"Sehubungan itu, PETRA menghargai cadangan penambahbaikan berkenaan pelaksanaan program-program pembekalan elektrik hijau dan akan meneliti setiap cadangan tersebut, namun pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kesesuaian, keupayaan teknikal dan implikasi kos kepada sistem,” tambahnya lagi.

Berhubung pembekalan elektrik yang berdaya harap, lestari dan mampu bayar, Fadillah berkata, perancangan ini akan sentiasa menjadi fokus utama PETRA dalam menerajui usaha peralihan tenaga.

"Oleh itu, selain pelaksanaan program-program pembekalan elektrik hijau sedia ada, kerajaan turut melakukan perancangan menjangka keperluan bagi sektor pembekalan elektrik untuk menerokai sumber-sumber pembekalan elektrik yang dapat memenuhi hasrat keperluan tenaga Malaysia.

"Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai karbon sifar bersih seawal-awalnya 2050, kerajaan telah komited untuk tidak lagi membina loji janakuasa baharu arang batu dan berusaha untuk mengurangkan jejak karbon sistem pembekalan elektrik negara,” katanya. - Bernama