KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil pendekatan pragmatik dalam membangunkan perancangan ekonomi dengan memberi keutamaan kepada tiga perkara asas, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, tiga perkara asas tersebut adalah mengukuhkan fiskal, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu dan melaksanakan reformasi struktur ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi.
Menurut Rafizi, rancangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan Madani setakat ini merangkumi keperluan jangka masa terdekat, perancangan sederhana dan juga perancangan masa panjang yang disesuaikan mengikut perancangan ekonomi makro.
Beliau berkata, kedudukan fiskal negara akan diperkukuhkan melalui peningkatan hasil dan penyasaran semula subsidi serta rasionalisasi perbelanjaan untuk mewujudkan perbelanjaan awam yang bertanggungjawab.
"Kerangka ekonomi Madani contohnya, meletakkan wawasan ekonomi dalam masa sederhana iaitu 10 tahun... Ini pemantauan dan penyelarasan yang lebih cepat supaya sebarang kelemahan dapat diatasi segera.
"Jika selepas lima tahun, kita rasa ini (perancangan ekonomi) tidak berlaku, kita anjak lagi ke depan.. Kemudian kita juga mempunyai kerangka ekonomi bersifat sektoral yang berperanan memperkuatkan asas ekonomi untuk memenuhi kehendak kedua dan kehendak ketiga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Rafizi memberi contoh Pelan Hala Tuju Peralihan Negara (NETR) yang bersifat serampang dua mata yang mana selain membina industri baru berasaskan peralihan tenaga bernilai tinggi, ia juga memastikan kemampanan dan keterjaminan tenaga untuk pertumbuhan negara sehingga tahun 2050.
"Ini bertujuan untuk mengelakkan kita bergantung kepada import tenaga pada masa akan datang. Begitu juga dengan Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) selain memastikan ada sektor baharu bernilai tinggi yang berkembang, ia juga untuk memastikan ekonomi kita beralih ke rantaian penciptaan nilai yang lebih tinggi.
"Tetapi aspirasi ekonomi yang digariskan dalam rancangan-rancangan ekonomi ini tidak akan berjaya jika beberapa reformasi mendesak tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, mengenai penyasaran semula subsidi RON95, beliau berkata, kerajaan mengambil masa hampir dua tahun untuk membuat keputusan tersebut dengan keutamaan diberikan untuk melindungi rakyat agar tidak terkesan daripada sebarang kenaikan kos secara langsung atau tidak langsung.
"Pada ketika ini, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang dalam fasa memperhalusi kriteria penyasaran subsidi RON95 sebelum membentangkan keputusan akhir pada jemaah menteri.
"Pengelasan mereka yang layak atau tidak layak untuk menerima subsidi RON95 adalah berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah dan hasrat kerajaan adalah sehingga 85 peratus daripada isi rumah mengikut kaedah ini akan menerima subsidi kerana ia lebih adil dan saksama,” katanya. - Bernama