Pemimpin dunia ucap tahniah kepada Trump, ikrar untuk bekerjasama

Iklan
Trump daripada Parti Republikan memenangi Pilihan Raya Presiden AS, sekali gus mencatatkan kebangkitan politik bersejarah selepas empat tahun meninggalkan Rumah Putih. Foto AFP

KUALA LUMPUR - Pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada Donald Trump daripada Parti Republikan selepas beliau mengisytiharkan kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), mencatatkan kebangkitan politik bersejarah selepas empat tahun meninggalkan Rumah Putih.

Mereka berikrar untuk bekerjasama dalam menghadapi masa depan.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri, Britain Keir Starmer mengucapkan tahniah kepada Trump atas 'kemenangan bersejarah dalam pilihan raya' dan berharap dapat bekerjasama dengannya pada tahun-tahun mendatang.

"Sebagai sekutu terdekat, kami berdiri teguh mempertahankan nilai kebebasan, demokrasi, dan keusahawanan yang dikongsi bersama.

Iklan

"Daripada pertumbuhan dan keselamatan kepada inovasi dan teknologi, saya yakin hubungan istimewa UK-AS akan terus berkembang di kedua-dua belah Atlantik selama bertahun-tahun yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di X.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, turut berkongsi mesej ucapan tahniahnya di X.

Iklan

"Saya mengucapkan tahniah kepada sahabat saya Donald Trump, yang memenangi Pilihan Raya Presiden di AS selepas perjuangan yang hebat dan dipilih semula,” kata Erdogan, menurut laporan Agensi Anadolu.

Dalam era baharu ini, Erdogan berharap hubungan Turkiye-AS akan semakin kukuh dan krisis serta peperangan serantau dan global, khususnya di Palestin dan perang Rusia-Ukraine, akan berakhir.

"Saya percaya lebih banyak usaha akan dilakukan untuk dunia yang lebih adil. Saya berharap pilihan raya ini akan membawa kebaikan kepada rakyat AS yang bersahabat dan bersekutu serta seluruh umat manusia,” tambahnya.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengucapkan tahniah kepada Trump di X, menyatakan:"Setinggi-tinggi tahniah, sahabat saya @realDonaldTrump, atas kemenangan bersejarah anda dalam pilihan raya.”

"Sambil anda meneruskan kejayaan penggal terdahulu, saya berharap dapat memperbaharui kerjasama kita bagi memperkukuh lagi Perkongsian Komprehensif Global dan Strategik India-AS. Bersama-sama, marilah kita berusaha demi kebaikan rakyat kita dan mempromosikan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran global,” tulisnya.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengucapkan tahniah kepada Trump atas"kemenangan pilihan raya yang mengagumkan”.

Beliau mengimbas kembali pertemuannya dengan Trump pada September lepas apabila mereka membincangkan secara terperinci Perkongsian Strategik Ukraine-AS, Pelan Kemenangan, dan cara untuk menamatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

"Saya menghargai komitmen Presiden Trump terhadap pendekatan ‘keamanan melalui kekuatan’ dalam hal ehwal global. Prinsip ini boleh membawa keamanan yang adil lebih dekat kepada Ukraine. Saya berharap kita dapat melaksanakannya bersama-sama.

"Kami menantikan era Amerika Syarikat yang kuat di bawah kepimpinan tegas Presiden Trump. Kami bergantung pada sokongan bipartisan yang berterusan untuk Ukraine di Amerika Syarikat,” tulisnya di X.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengucapkan tahniah kepada Trump atas kemenangan dalam pilihan raya presiden dan menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama"seperti yang telah dilakukan selama empat tahun”.

"Dengan keyakinan anda dan saya. Dengan rasa hormat dan cita-cita. Untuk lebih keamanan dan kemakmuran,” kata Macron di X.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menyatakan hasratnya untuk bekerjasama rapat dengan pentadbiran baharu AS.

"Tahniah kepada Presiden Terpilih Donald Trump atas kemenangan bersejarah untuk penggal kedua! Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Pentadbiran baharu untuk memperkukuh dan meluaskan lagi kerjasama Pakistan-AS,” tulisnya di X.

Presiden Maldives, Mohamed Muizzu menyatakan harapannya untuk memperkukuh kerjasama Maldives-AS, menangani cabaran bersama dan memajukan keamanan serta kemakmuran global.

"Maldives dan Amerika Syarikat berkongsi kerjasama yang kukuh berdasarkan saling hormat, perasaan muhibbah dan saling memahami,” katanya dalam satu hantaran di X sambil mengucapkan tahniah kepada Trump.

Sementara itu, Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani menyatakan hasrat untuk"bekerjasama lagi”.

"Tahniah kepada Presiden Terpilih Donald Trump atas kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden AS. Saya mendoakan yang terbaik sepanjang tempoh penggal anda dan berharap dapat bekerjasama lagi untuk memperkukuh hubungan strategik serta kerjasama kita dan memajukan usaha bersama dalam mempromosikan keselamatan dan kestabilan di rantau ini dan di peringkat global,” tulisnya.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong turut mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden AS.

Wong yang juga Menteri Kewangan menyatakan harapannya untuk meningkatkan lagi kerjasama AS-Singapura.

"Saya yakin AS akan terus berkembang dan memimpin di peringkat global. Kami berharap untuk menyambut anda kembali ke Singapura tidak lama lagi,” katanya di X pada Rabu.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengucapkan tahniah kepada Trump dan gandingannya Senator JD Vance atas kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden AS.

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda untuk memajukan hubungan sekutu yang lama antara Thailand-AS demi manfaat rakyat kita dan kemakmuran di rantau Indo-Pasifik,” tulisnya di X.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Trump atas kebangkitan politik yang luar biasa dan kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden AS.

Dalam hantaran di Facebook dan X, Anwar berkata, babak baharu ini membawa peluang yang diperbaharui, dan Malaysia bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan optimisme, kerjasama dan matlamat bersama.

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan presiden baharu ini bagi meraih manfaat bersama untuk rakyat kedua-dua negara,” tulisnya. - Bernama