GENEVA - Menteri Buruh Lubnan mengumumkan pada Rabu bahawa negara itu telah memfailkan aduan dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung letupan alat kelui yang mengorbankan nyawa di Lubnan pada September, lapor Agensi Anadolu.
Moustafa Bayram menyifatkan serangan itu sebagai"perang yang keterlaluan terhadap kemanusiaan, terhadap teknologi, terhadap pekerjaan,” sambil memberitahu sidang media bersama Persatuan Wartawan Bertauliah ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ACANU) di Geneva bahawa lebih 4,000 orang awam"terkorban, cedera dan hilang upaya” dalam beberapa minit sahaja.
"Ia adalah satu duluan yang sangat berbahaya,” kata Bayram.
Walaupun Israel tidak secara rasmi mengakui bertanggungjawab terhadap siri serangan itu, menteri itu berkata:"Kini menjadi pengetahuan umum di peringkat antarabangsa bahawa Israel bertanggungjawab terhadap tindakan keji ini.”
"Kita berada dalam situasi di mana objek biasa, objek yang digunakan dalam kehidupan seharian, menjadi berbahaya dan mengancam nyawa,” katanya, sambil menambah bahawa beberapa pekerja kehilangan jari dan ada yang kehilangan penglihatan sepenuhnya dalam serangan itu.
Tiada jaminan keselamatan dan perlindungan untuk pekerja,” katanya."Itulah sebabnya saya hadir untuk memfailkan aduan dengan ILO, kerana jika dibiarkan, jenayah ini boleh menjadi perkara biasa dan tersebar pada masa akan datang.”
Lubnan menekankan isu ini"untuk mencegahnya daripada berulang di masa hadapan," tegas Bayram."Saya menganggapnya sebagai tanggungjawab moral kepada negara saya dan dunia."
"Kami merasakan perlu untuk menunjukkan bahawa perkara ini bertentangan dengan keselamatan dan persekitaran pekerjaan, bertentangan dengan prinsip kerja yang layak... yang dipertahankan oleh ILO,” katanya.
Misi Lubnan di Geneva memberitahu Anadolu bahawa aduan itu telah difailkan"tiga hari lepas.”
Sebagai respons kepada satu soalan, beliau mengakui kemungkinan memfailkan aduan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada masa depan.
Menteri itu turut menyeru gencatan senjata dan pelaksanaan penuh Resolusi 1701 PBB yang menggesa pemberhentian sepenuhnya permusuhan antara Israel dan Hizbullah. - Bernama