AKTA Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) mula dikuatkuasakan di negara ini sejak 1 Oktober lalu. Ia merupakan langkah kerajaan dalam mengawal tabiat merokok, termasuk promosi dan penjualan produk tembakau.
Tindakan tersebut menunjukkan kesungguhan tinggi kerajaan dalam melindungi kesihatan awam khususnya golongan kanak-kanak dan remaja daripada kesan buruk merokok.
Seiring dengan akta tersebut berkuat kuasa, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah giat melaksanakan pelbagai operasi termasuk mengenakan kompaun kepada mereka yang merokok di tempat-tempat awam yang tidak dibenarkan.
Sebanyak 28 kawasan digazetkan menerusi Akta 852 dan individu yang didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan larangan itu akan dikenakan denda maksimum sebanyak RM5,000.
Di sebalik kesungguhan kerajaan ini, lain pula ceritanya di Parlimen. Semalam, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong meluahkan rasa kurang senang dengan sebilangan ahli Parlimen yang tidak menghormati peraturan apabila merokok di dalam bangunan Parlimen.
Beliau membangkitkan perkara tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar kempen tidak merokok juga dilaksanakan seiring amalan mengurangkan gula dalam makanan yang digerakkan di Parlimen. Tanpa menyatakan secara terperinci nama ahli-ahli Parlimen dimaksudkan, teguran Poay Tiong itu sesuatu yang wajar.
Difahamkan, terdapat tiga tempat disediakan untuk ahli Parlimen melepaskan gian menghembuskan asap rokok, namun masih ramai yang memilih kawasan larangan termasuk di bilik Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).
Bukan sahaja tidak sensitif dengan persekitaran, malah perbuatan ahli Parlimen tidak mengendahkan arahan larangan merokok di kawasan Parlimen jelas menunjukkan contoh tidak baik kepada masyarakat luar.
Kalau ahli Parlimen sendiri tak serius dengan arahan larangan merokok, bagaimanapun pula masyarakat di luar sana?
Pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan bagaimanapun telah ditugaskan untuk memantau dan mengambil tindakan kompaun mereka yang merokok di tempat larangan di kawasan Parlimen.
Sekadar hukuman kompaun mungkin tidak memadai. Mungkin Speaker Dewan Rakyat boleh mempertimbangkan hukuman lebih berat terhadap ahli Parlimen terlibat seperti digantung daripada menghadiri sidang berikutnya.