PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal diadakan secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera iaitu Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan kepada 13 kem seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada tahun 2026.
Untuk tujuan itu, kerajaan memperuntukkan RM50 juta dalam Belanjawan 2025 bagi memulakan program rintis tersebut dengan sasaran peserta berusia 16 hingga 35 tahun.
PLKN kali ini dilaksanakan menerusi konsep dan format baharu, menerapkan 30 peratus modul asas kenegaraan dan 70 peratus latihan ketenteraan.
Ketika diperkenalkan pada 2003, ia menekankan aspek kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti.
Bagaimanapun, orang ramai memberikan pelbagai reaksi mengenai pelaksanaan semula PLKN tersebut.
Ada yang menyokong inisiatif berkenaan dan begitu juga sebaliknya, namun masing-masing mempunyai hujah serta pandangan tersendiri berhubung perkara tersebut.
Bentuk semangat kepimpinan dalam diri
Saya berpendapat pelaksanaan semula PLKN wajar dilakukan untuk membentuk semangat kepimpinan dan menanam rasa cinta serta sayang kepada negara dalam kalangan generasi muda.
Ini kerana, modul gabungan latihan ketenteraan dan kenegaraan bakal melahirkan individu yang bertanggungjawab serta amanah untuk memimpin negara pada masa hadapan.
Saya percaya program ini akan menjadi titik peralihan dalam pembentukan sahsiah diri mereka walaupun terdapat segelintir yang memperlekehkan usaha kerajaan ini.
Pembentukan sahsiah diri yang baik penting agar mereka menjadi pemimpin yang boleh mentadbir negara dan menjamin kestabilannya tanpa campur tangan kuasa asing.
Jika kita perhatikan, segelintir individu yang mempunyai semangat patriotisme rendah cenderung memiliki tingkah laku negatif.
Secara tidak langsung, masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat akan meningkat kerana tiada pembentukan nilai-nilai murni dalam diri sejak kecil.
Selain itu, peserta juga berpeluang berinteraksi dan berkumpul dengan masyarakat yang berlainan bangsa, agama, budaya, bahasa serta latar kehidupan dalam satu program.
Keadaan ini berbeza semasa di sekolah yang mana pelajar lebih memilih untuk berkawan dengan bangsa yang sama dengan mereka.
- Peniaga, Muhd Ehsan Mohamad, 38
PLKN salah satu cara semai nilai patriotik
Saya setuju program ini diwujudkan semula sebagai salah satu cara untuk menyemai nilai-nilai patriotik yang semakin luntur dalam kalangan belia pada masa kini.
Mungkin perkara itu berlaku disebabkan peredaran zaman dan cara hidup masyarakat sekarang yang berbeza berbanding dahulu.
Ditambah dengan perkembangan teknologi yang pesat, pelbagai jenis hiburan dan bahan bacaan dari Barat menyebabkan ia menghakis semangat dan perasaan cintakan negara dalam diri.
Mereka tidak lagi mengenang kesusahan serta penderitaan generasi sebelum merdeka yang memperjuangkan tanah air kerana beranggapan negara sudah bebas daripada dijajah.
Jika kita perhatikan, golongan ini lebih menyanjung budaya Barat sama ada dari segi berpakaian, cara hidup dan sebagainya sehingga mereka lupa asal usul kewujudan negara.
Malah, terdapat juga segelintir golongan belia ini yang tidak mengetahui sejarah pembentukan negara, bahkan nama kementerian dalam kerajaan.
Jika berterusan, dibimbangi negara akan kehilangan identiti bangsa dan dilupakan pada masa hadapan.
- Ahli farmasi, Nurul Fatihah Norhazlan, 27
Bangkang
Pelaksanaan PLKN 3.0 ini perlu dipertimbangkan semula dengan lebih terperinci kerana ia melibatkan kos yang besar untuk menjayakan program tersebut dengan keadaan ekonomi yang baru pulih.
Kos-kos ini merangkumi penyediaan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti penginapan, makan dan minum, rawatan perubatan, pengangkutan, kelengkapan dan peralatan serta bayaran elaun kepada jurulatih yang terlibat.
Saya berpendapat program ini merupakan suatu pembaziran yang perlu dielakkan, lebih-lebih lagi jika ia tidak memberi sebarang impak terhadap diri belia.
Ini kerana, kebanyakan maklum balas yang diterima daripada peserta-peserta sebelum ini, mereka hanya mengikuti program tersebut kerana terpaksa dan bukan secara sukarela.
Keadaan itu menyebabkan tiada penerapan nilai-nilai murni dalam diri para peserta sejurus tamat latihan tersebut.
Lebih baik peruntukan tersebut digunakan untuk membantu rakyat yang lebih memerlukan seperti bantuan kepada pelajar bagi menyambung pelajaran dan sebagainya.
Selain itu, pemilihan peserta yang dilakukan secara rawak menyebabkan ia menjadi tidak adil kerana individu yang sepatutnya pergi tidak dapat dan begitu juga sebaliknya.
Pada pendapat saya, cara mudah untuk memupuk semangat patriotisme dalam golongan belia ini adalah dengan menjadikan ia sebagai modul pembelajaran yang perlu dikuasai oleh semua pelajar di sekolah menengah selain mengadakan program yang berimpak tinggi.
- Penulis bebas, R Yashwin, 26
Hidup terjejas jika sudah berkeluarga
Pada pendapat saya, tiada keperluan untuk melaksanakan semula PLKN ini kerana golongan belia berusia 16 hingga 35 tahun ini rata-ratanya masih dalam fasa pengajian, bekerja dan ada juga sudah berkeluarga.
Saya memahami bahawa program ini untuk pelajar yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bayangkan jika kumpulan ini terpaksa menyertai PLKN dalam tempoh yang tertentu, ia boleh memberi impak negatif dalam kehidupan mereka terutamanya bagi yang sudah berkeluarga.
Sepanjang tempoh latihan tersebut, mereka akan terjejas kerana tidak mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan seperti perbelanjaan anak-anak, bayaran rumah atau kenderaan, bil utiliti dan sebagainya.
Bagi pelajar lepasan SPM yang memilih menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi pula mungkin menghadapi kekangan kerana golongan ini sering memanfaatkan cuti semester dengan bekerja sambilan.
Hal ini dilakukan bagi menampung perbelanjaan semasa pengajian dan membayar yuran disebabkan keluarga yang susah, malah ada segelintir pelajar yang melakukan kerja sambilan ketika sedang belajar.
Walaupun masih boleh menangguhkan PLKN sehingga mencapai umur 35 tahun, isu tersebut tidak akan selesai kerana komitmen yang berpanjangan.
- Pekerja swasta, Mohd Afiq Hafizzudin Azman, 30