Baik buruk luah perasaan di media sosial

Iklan
Tidak semua tindak balas di media sosial adalah positif. Terdapat kemungkinan bahawa anda akan menjadi mangsa buli siber. Gambar hiasan 123rf

DI era digital ini, media sosial telah berkembang menjadi medium individu untuk meluahkan perasaan, idea dan pandangan mereka dengan cara yang lebih terbuka.

Selain Facebook, Instagram, X dan TikTok, penulis tertarik dengan kemunculan ‘Threads’ yang menjadi medan curahan perasaan oleh warga maya.

Iklan
Iklan

Pelbagai cerita kehidupan boleh didengar daripada isu keluarga, rumah tangga, kewangan, kesihatan, kerjaya dan banyak lagi.

Walaupun ada yang kata tidak elok berkongsi hal peribadi di media sosial, namun dari sudut positifnya, kita boleh mengambil iktibar daripada cerita yang dikongsikan.

Iklan

Seperti kata pakar psikologi dan pengasas CPC International, Dr Noor Aishah Rosli, media sosial boleh jadi platform terbaik untuk memberitahu masyarakat berhubung sesuatu perkara.

Namun beliau juga menekankan perlu ada batasan dan mengikut kesesuaian perkara yang ingin dikongsikan."Ada perkara yang dikongsi di media sosial akan membuatkan pengguna lain berfikir, adakah mereka juga berhadapan situasi yang sama?

Iklan

Sebagai contoh, seorang ibu berkongsi secara umum anaknya dibuli di sebuah sekolah berasrama.

"Pengguna media sosial lain yang membaca status berkenaan terutama kaum ibu akan lebih mengambil berat perihal anak mereka.

"Apabila isu itu tular, pihak berkaitan akan mengambil tindakan susulan termasuk penambahbaikan bagi membanteras insiden buli di sekolah,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa isu rumah tangga bukanlah sesuatu yang sesuai untuk dikongsi di media sosial lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan selebriti popular kerana ia akan lebih memberi tekanan dan implikasi besar kepada ramai pihak khususnya ahli keluarga.

Dr Noor Aishah menjelaskan, masalah dalaman rumah tangga yang didedahkan kepada umum hanya mengundang ahli masyarakat menjadi ‘hakim tidak bertauliah’ sama ada menzahirkan simpati atau menghamburkan kata-kata kesat, mengeji, memaki hamun sehingga ke tahap mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang lain.

Pandangan beliau ada benarnya, lihat sahaja dalam isu rumah tangga yang melanda artis dan pempengaruh popular baru-baru ini, netizen berlumba-lumba memberi pendapat, seolah-olah mereka tinggal sebumbung, tidur sebantal dengan selebriti berkenaan.

Trend meluahkan perasaan di media sosial sama ada dalam bentuk status, ciapan atau video telah menjadi satu cara untuk ramai orang meluahkan emosi mereka secara terus kepada khalayak yang luas. Walaupun ini boleh memberikan rasa lega dan sokongan sosial, trend ini juga membawa cabaran dan risiko, terutamanya dari segi kesan psikologi dan privasi.

Tidak semua tindak balas di media sosial adalah positif. Terdapat kemungkinan bahawa anda akan menjadi mangsa buli siber. Komentar berunsur biadab, menghina dan merendah-rendahkan maruah seseorang, boleh memburukkan lagi keadaan emosi, sekali gus mencetuskan masalah kesihatan mental.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan seramai sejuta atau bersamaan 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami isu kemurungan.

Menerusi hasil tinjauan dilakukan, jumlah itu menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019 dengan golongan berusia 16 hingga 29 tahun paling ramai mengalaminya.

Tinjauan juga menunjukkan hampir separuh daripada jumlah itu berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.

Pun begitu di sisi positif, ramai yang menggunakan media sosial untuk berbicara mengenai kesihatan mental mereka. Individu yang menghadapi masalah seperti kebimbangan, kemurungan atau tekanan berkongsi pengalaman mereka untuk meningkatkan kesedaran dan mengurangkan stigma yang berkaitan dengan masalah mental.

Seperti pelakon dan pengacara, Janna Nick menerusi hantaran di Instagram pernah mendedahkan dia disahkan menghidap gangguan bipolar.

Tindakan selebriti atau influencer menggunakan platform media sosial untuk bercerita tentang perjuangan kesihatan mental mereka, telah memberi dorongan kepada pengikut untuk berbicara lebih terbuka tentang masalah serupa.

Walaupun trend meluahkan perasaan di media sosial memberi peluang untuk mendapatkan sokongan sosial, trend ini juga berpotensi untuk memberi kesan psikologi negatif dan kesan kepada privasi individu.

Oleh itu, adalah penting untuk kita sentiasa berhati-hati dan bijak dalam menyampaikan perasaan kita di ruang digital. Manfaatkan peluang untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan perspektif dengan cara yang bertanggungjawab.

* Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Sinar Online