Bermulanya era Trump 2.0

Iklan
Trump daripada Parti Republikan memenangi Pilihan Raya Presiden AS, sekali gus mencatatkan kebangkitan politik bersejarah selepas empat tahun meninggalkan Rumah Putih. - Agensi

PILIHAN Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 memperlihatkan kemenangan berpihak kepada calon Parti Republikan (GOP), Donald Trump apabila melepasi 270 undi badan perwakilan pemilih yang diperlukan untuk memenangi pilihan raya tersebut.

Trump menewaskan pencabarnya dari parti Demokrat, Kamala Harris dengan memperoleh 277 undi perwakilan dan mengesahkan kedudukannya sebagai Presiden AS ke-47.

Iklan
Iklan

Keputusan itu sekali gus melayakkannya kembali semula ke Rumah Putih selepas empat tahun meninggalkan pejabat tersebut.

Kemenangan tersebut pastinya menjadi detik bersejarah buat negara berkenaan lebih-lebih lagi Trump sebelum ini pernah menjadi Presiden AS ke-45 setelah memenangi pilihan raya presiden pada 2016.

Iklan

Tidak ketinggalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook dan X, merakamkan ucapan tahniah kepada Trump atas kebangkitan politik yang luar biasa sekali gus mengharapkan kerjasama antara kedua-dua negara pada masa akan datang.

Ujar Anwar, babak baharu ini membawa peluang yang diperbaharui dan Malaysia bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan kerjasama, optimisme, dan matlamat bersama.

Iklan

Beliau turut menekankan bahawa AS kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia Pasifik.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Perdana Menteri berkata, Malaysia berharap AS akan memberi nafas baharu dalam penglibatannya dengan Asia Tenggara.

Sudah pasti keputusan pilihan raya presiden AS tahun ini menandakan permulaan kepada era Trump 2.0 yang mana, beberapa perubahan kepada polisi sedia ada akan dilaksanakan termasuk melibatkan isu pendatang dan dasar luar negara.

Tentunya, isu imigrasi dijangka menjadi tumpuan masyarakat seluruh dunia kerana Trump sebelum ini telah memperlihatkan dasar yang sangat ketat melibatkan dasar tersebut termasuk mengumumkan larangan perjalanan ke atas beberapa negara majoriti Islam.

Pada 27 Jun 2017, media melaporkan, Trump telah menetapkan larangan selama 90 hari terhadap warga negara dari enam negara Islam dan pengharaman 120 hari ke atas pelarian.

Negara-negara tersebut adalah Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman, yang digambarkannya sebagai ‘negara keganasan’.