WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Rabu menghubungi Presiden terpilih Donald Trump untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan pilihan raya, menurut Rumah Putih.
"Presiden Biden menyatakan komitmennya untuk memastikan peralihan yang lancar dan menekankan kepentingan usaha untuk menyatukan negara," kata Rumah Putih dalam satu kenyataan, sambil memaklumkan bahawa Biden akan menyampaikan ucapan kepada negara untuk membincangkan keputusan pilihan raya dan peralihan kuasa pada Khamis.
Biden juga menjemput Trump untuk bertemu di Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan itu, sambil menambah bahawa pihak kakitangan akan menyelaraskan tarikh khusus dalam masa terdekat.
Awal pagi Rabu, Fox News pertama kali mengunjurkan Trump akan memenangi lebih daripada 270 undi Badan Perwakilan Pemilih, ambang yang diperlukan untuk memenangi jawatan presiden.
Bercakap di ibu pejabat pilihan rayanya di West Palm Beach, Florida, Trump segera mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya presiden AS 2024, menyifatkannya sebagai"kemenangan politik yang belum pernah disaksikan oleh negara kita sebelum ini." Associated Press, bersama beberapa media utama AS yang lain, turut meramalkan kemenangan Trump beberapa jam kemudian.
Ketika undi terus dikira, Trump dilihat telah menyapu bersih semua tujuh negeri penting dalam pilihan raya presiden tahun ini. Keputusan mula jelas di Carolina Utara dan Georgia sekitar tengah malam pada Hari Pilihan Raya.
Setakat petang Rabu, ketiga-tiga negeri"tembok biru" -- Pennsylvania, Wisconsin dan Michigan -- turut beralih kepada Trump, seperti yang berlaku pada 2016.
Media AS melaporkan pada awal Rabu bahawa Harris telah menghubungi Trump untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan pilihan rayanya.
Dalam perkembangan berasingan, Agensi Anadolu melaporkan bahawa Harris menyeru penyokongnya agar menerima keputusan pilihan raya dan berjanji peralihan kuasa secara aman kepada Trump.
"Saya tahu orang ramai sedang merasai dan mengalami pelbagai emosi sekarang. Saya faham. Tetapi kita mesti menerima keputusan pilihan raya ini," katanya dalam ucapan yang disampaikan daripada alma maternya yang berpangkalan di Washington, DC, Universiti Howard.
"Awal hari ini, saya bercakap dengan Presiden terpilih Trump dan mengucapkan tahniah kepadanya atas kemenangannya. Saya juga memberitahunya bahawa kami akan membantu beliau dan pasukannya dengan peralihan mereka dan kami akan melaksanakan peralihan kuasa secara aman," tambahnya.
Beliau menggesa ahli Demokrat supaya tidak berputus asa susulan keputusan pada Selasa tetapi sebaliknya menyusun gerak kerja dan"kekal terlibat demi kebebasan, keadilan masa depan yang kita semua tahu boleh kita bina bersama."
Kemenangan Trump menandakan kemunculan semula yang bersejarah dan tidak diduga setelah beliau gagal dipilih semula untuk penggal kedua berturut-turut pada 2020.
Trump akan dilantik untuk penggal kedua di Rumah Putih pada 20 Jan 2025. Harris, sebagai naib presiden dijadualkan menyelia upacara angkat sumpah di Capitol. - Bernama-Xinhua/Agensi Anadolu