PETALING JAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengukuhkan kerjasama strategik melalui memorandum persefahaman (MoU) berkaitan harta intelek.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu bertujuan memperkenalkan modul harta intelek kepada warga pendidik dan pelajar sekali gus membentuk generasi lebih peka terhadap hak-hak harta intelek.
Menurutnya, melalui MoU tersebut sebuah modul khas berkenaan harta intelek juga akan dibangunkan dan dimasukkan sebagai elemen rentas kurikulum (EMK) dalam kurikulum sekolah sedia ada.
"Pewujudan modul ini akan memperkenalkan konsep harta intelek dengan cara mudah difahami pelajar serta membina asas dan pemahaman kukuh bagi melahirkan generasi celik perlindungan harta intelek.
"Inisiatif ini adalah berkesinambungan kepada pelaksanaan program yang telah dijalankan oleh MyIPO sejak 2013 untuk meningkatkan kesedaran hak harta intelek dalam kalangan pelajar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU antara KPM dan MyIPO di Menara MyIPO di Seksyen 53 di sini pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan dan Ketua Pengarah MyIPO, Kamal Kormin.
Mengulas lanjut Armizan berkata, antara usaha yang telah dijalankan adalah pelaksanaan pelbagai program pembelajaran secara santai tetapi efektif seperti IP Summer Camp, IP Funtastic, Program Usahawan Celik IP, Youth Celik IP, Youth Celik IP @ Campsite, IP Bridge, dan Super IDEA.
Katanya, pelaksanaan program itu menunjukkan perkembangan positif sejak tahun 2011 hingga September 2024.
Beliau menjelaskan, dalam tempoh tersebut MyIPO telah menerima sebanyak 66 permohonan pendaftaran paten dan pembaharuan utiliti serta 128 permohonan hak cipta dengan sebahagian besarnya merupakan permohonan paten yang direkodkan atas nama sekolah di bawah KPM dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
"Pemeteraian MoU ini akan menjadi langkah tepat dalam membina kesedaran hak harta intelek sekali gus menjadi perisai perlindungan bagi kreativiti dan inovasi warga pendidikan daripada diekploitasi oleh mana-mana pihak.
"Ini juga akan membuka peluang kepada pengkomersialan hasil daya cipta dan inovasi untuk manfaat bersama,” tambahnya.
Sementara itu, Fadhlina ketika berucap menyifatkan harta intelek berkait rapat seperti yang disebut sebagai penemuan serta inovasi terbaik dan terkini.
Sehubungan itu ujarnya, menjadi tanggungjawab warga KPM untuk terus memelihara dan memastikan bahawa hak cipta, hak intelek yang berkait rapat dengan penemuan atau inovasi terbaik dipelihara dan dilindungi.
"Saya sangat mendukung usaha untuk memasyarakatkan tentang isu harta intelek ini kerana ia penting untuk persediaan kita sebagai sebuah negara yang menuju kepada agenda besar tentang inovasi.
"Ia termasuk penemuan serta kajian dan kepintaran baharu yang memerlukan harta intelek difahami dan dimasyarakatkan khususnya pada hari ini,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam konteks pendidikan perkara itu tidak hanya merujuk kepada penemuan saintifik atau karya seni semata-mata malah ia juga membabitkan semua bentuk bahan pengajaran, buku teks mahu pun aplikasi pembelajaran digital serta alat pengajar yang lain.
"Bagi mendapatkan hak khususnya untuk dipertahankan kita harus memulakan asas penghormatan kepada idea asal yang mana penghormatan kepada usaha itu bermula di peringkat sekolah,” tambahnya.