Arteta kritik mutu pengadilan di San Siro

Iklan
Arteta mendakwa Arsenal sepatutnya diberikan penalti selepas insiden Yann Sommer menumbuk kepala Mikel Merino pada awal separuh masa pertama. Foto: Agensi

MIKEL Arteta mengkritik dua keputusan penalti yang tidak memihak kepada pasukannya apabila musim Arsenal semakin merosot, dengan kekalahan pertama Liga Juara-Juara kepada Inter Milan.

Perlawanan di San Siro itu menyaksikan pengadil Istvan Kovacs memberikan penalti kontroversi kepada pasukan tuan rumah selepas bola rembatan Mehdi Taremi terkena tangan Mikel Merino pada penghujung separuh masa pertama.

Iklan
Iklan

Hakan Calhanoglu menyempurnakan penalti itu dan Arsenal gagal menjaringkan gol penyamaan sehingga perlawanan tamat.

Sebelum itu, pada awal separuh masa pertama, penjaga gol Yann Sommer secara tidak sengaja menumbuk kepala Merino ketika dia melompat untuk menepis bola dari hantaran lintang Gabriel Martinelli.

Iklan

"Kekecewaan terbesar malam ini adalah keputusan perlawanan kerana kami telah mempamerkan dominasi, prestasi cemerlang menentang salah satu pasukan terbaik Eropah di stadium mereka.

"Ini sangat mengecewakan kerana terdapat dua keputusan yang tidak memihak kepada kami. Jika penalti mereka diberikan, sepatutnya kami juga dapat satu penalti apabila Mikel Merino ditumbuk di kepala.

Iklan

"Daripada semua perlawanan besar yang kami mainkan di Eropah, ini adalah yang terbaik yang saya saksikan daripada pasukan saya dalam tempoh dua tahun lalu,” ujar Arteta.

Apabila ditanya mengenai penalti yang diberikan kepada tuan rumah, Arteta berkata:"Saya tidak faham. Itu hanyalah pantulan bola, tiada bahaya langsung. Anda tidak boleh bertindak balas kerana bola sangat dekat. Tapi OK, mereka putuskan itu adalah penalti."

Kai Havertz terpaksa keluar padang pada penghujung perlawanan dengan luka di kepalanya.

Arteta mengesahkan pemain itu dikeluarkan untuk menerima jahitan dan dijangka bersedia untuk perlawanan EPL menentang Chelsea pada Ahad ini.

Mengenai pertemuan hujung minggu ini, Arteta menambah:"Jika kami bermain seperti ini, kami mempunyai peluang yang baik untuk menang menentang Chelsea. Saya beritahu mereka bahawa saya bangga dengan mereka. Saya belum pernah melihat mereka bermain di Eropah seperti hari ini.”

Arsenal kini tidak mampu lagi mengalami kekalahan jika mereka mahu kekal dalam persaingan merebut gelaran EPL pertama mereka sejak 2004 selepas dua musim berturut-turut menjadi naib juara.