SHAH ALAM - Langkah mitigasi digesa segera dilaksanakan sekiranya berlaku kegagalan tadbir urus dalam syarikat berkepentingan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Pushpan Murugiah berkata, syarikat berkepentingan kerajaan yang merangkumi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kini merupakan antara tonggak utama dalam pembangunan ekonomi negara dan pemberian sokongan kepada masyarakat.
Menurutnya, sebagai entiti komersial yang diamanahkan menjalankan fungsi bersifat awam, tujuan penubuhan syarikat berkepentingan kerajaan dikatakan adalah supaya keuntungan yang dikaut dapat membawa kepada kemapanan kewangan, yang seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan orang ramai.
"Bagaimanapun, kelemahan tadbir urus dan sistem pengawalseliaan operasi syarikat-syarikat berkepentingan kerajaan telah mengakibatkan pelbagai kes penyelewengan dana awam serta kerugian kewangan akibat pelaburan yang tidak berhemat.
"Bukan sahaja tujuan asal penubuhan syarikat ini tidak tercapai, malah jauh tersasar daripada visi yang ditetapkan sehingga mendatangkan kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan, ibarat jatuh ditimpa tangga pula,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu tatakelola melibatkan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya yang diberikan bayaran khas berjumlah RM210,000 ketika syarikat itu hanya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 42 peratus.
Menurut Pushpan Murugiah, sekiranya KPI tidak tercapai, pengelola syarikat seharusnya memberi penjelasan dan cadangan mereka demi menambah baik prestasi syarikat tersebut.
"Kerajaan tidak patut membiarkan sesebuah syarikat berkepentingan kerajaan terus beroperasi seperti biasa dalam keadaan sebegini.
"Kerajaan mungkin boleh merangka sistem pelaporan dan penilaian prestasi (atau audit prestasi) yang konsisten bagi syarikat berkepentingan awam seperti yang dilaksanakan di Australia di bawah Akta Tadbir Urus, Prestasi dan Kebertanggungjawaban Awam 2013, demi mengesan kes-kes kegagalan tadbir urus sebelum menjadi terlalu parah,” jelas beliau.