BIARPUN sudah lebih sedekad bergelar pelakon, aktres Sara Ali mendedahkan masih mengikuti kelas lakonan bagi membantunya menjiwai sesebuah watak.
Kongsi Sara atau nama sebenarnya Siti Sarah Hairi Ali, 34, dia tidak mahu terus berada dalam zon selesa dan menggunakan metode sama dalam lakonan.
"Apabila mendapat tawaran untuk membawakan watak Sarimah dalam Bisikan Dosa, saya lihat perwatakannya itu sangat berat. Saya sudah buntu memikirkan metode apa lagi yang boleh saya gunakan untuk hidupkan watak ini.
"Jadi selepas 11 tahun, saya ambil inisiatif untuk mengikuti kelas lakonan bersama aktres Farah Ahmad selama tiga hari sebelum penggambaran filem bermula," kongsinya ketika ditemui di lokasi penggambaran Bisikan Dosa di Kuang, baru-baru ini.
Filem seram arahan Faizul A. Rashid itu turut menampilkan Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans dan ramai lagi.
Tambah pelakon yang mula meledak menerusi filem Nur Kasih The Movie itu, meskipun sudah berpengalaman dalam bidangnya, dia merasakan masih ada keperluan untuk menyertai kelas lakonan untuk mengasah kebolehan sedia ada.
"Terus terang saya kata saya agak risau apabila diberikan watak yang berat seperti Sarimah ini. Memang saya mahukannya, tapi dalam masa saya risau juga untuk melakonkannya.
"Sebelum ini pun saya ada mengikuti beberapa kelas lakonan dan walaupun sudah berpengalaman, tidak salah untuk menimba ilmu.
"Mana tahu, ilmu yang kita dapat daripada cikgu berlainan, memberi input kepada kita untuk mencorakkan sesuatu watak itu.
"Lagipun kita tidak boleh berada dalam zon selesa atau metode yang sama berulang kali. Jadi, itulah pentingnya untuk kita sentiasa ambil inisiatif belajar," jelasnya.
Berkongsi perkembangan lainnya, Sara berkata, dia bakal memulakan percubaan sebagai pengarah menerusi sebuah video muzik yang bermula tidak lama lagi.
"Penggambarannya bermula sekitar bulan ini, melibatkan muzik video untuk sebuah kumpulan tempatan.
"Saya mahu tengok sejauh mana saya boleh mengarah. Atas sebab itu, saya kena mulakan sesuatu, mungkin dengan muzik video, kemudian filem pendek,” katanya lagi.