Proses pewartaan Pulau Bidong sebagai taman negeri selesai Disember depan

Iklan
Jeti Pulau Bidong

KUALA TERENGGANU - Proses pewartaaan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri Terengganu bagi mengekalkan khazanah alam dan warisan yang ada di pulau tersebut dijangka selesai pada Disember depan.

Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A Rahman berkata, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan, arkeologi, flora dan fauna di lokasi itu kini sedang berjalan melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya juga telah mengambil langkah awal termasuk melaksanakan beberapa siri program pembersihan pantai dan dasar laut di pulau berkenaan.

"Kita sedang giat menyelesaikan segala keperluan serta urusan berkaitan yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

Iklan

"Setiap taman negeri perlu ada renjer untuk menjaga keselamatan dan nilai estetikanya, jadi kita sedang melatih empat orang renjer yang akan bertugas sebaik sahaja Pulau Bidong diwartakan sebagai taman negeri," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tengku Mohd Arifin berkata, Pulau Bidong akan menjadi taman negeri keempat Terengganu selepas tiga lokasi yang turut diisytiharkan sebagai taman negeri termasuk Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetland), Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir.

Iklan

Katanya, proses pewartaan Pulau Bidong yang dikenali sebagai pulau orang hanyut meliputi kawasan daratan seluas 231.3 hektar dan laut iaitu satu batu nautika daripada tikas air surut.

Dalam pada itu, Tengku Mohd Arifin berkata, pihaknya juga akan menjalankan sesi taklimat dengan pemegang taruh terlibat termasuk nelayan dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang memiliki sebahagian kawasan di Pulau Bidong.

"Walaupun diwartakan bagi tujuan pemuliharaan, kita juga perlu memberi pertimbangan dari aspek ekopelancongan.

"Kita akan mengenal pasti plot mana yang boleh dibuka dan perlu ditutup kepada pelancong kerana kita tak akan buka semua dan tutup semua.

"Jadi kita perlu bincang dan adakan sesi libat urus dengan pebagai pihak antaranya Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Jabatan Perikanan, golongan nelayan dan UMT berhubung perkara itu," jelas beliau.

Sebelum ini, Pulau Bidong diisytihar sebagai pusat penempatan orang hanyut Vietnam (Boat People) pada Ogos 1978 hingga November 1991.

Sepanjang tempoh itu, seramai 252,390 orang pernah berlindung di pulau tersebut sebelum berpindah ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan Australia.

Pulau tersebut mula dibuka kepada pelancong pada Januari 2017 namun hanya terhad kepada lawatan sehari sahaja dan mereka yang mahu bermalam pula perlu mendapatkan kebenaran Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang diamanahkan menjaga kelestarian pulau tersebut.