KUALA LUMPUR - Menteri dan Timbalan Menteri Komunikasi tidak terlibat sama sekali dalam pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bebas menilai MNO yang layak melalui proses tender, mengambil kira faktor rancangan perniagaan dan teknikal, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
Iklan
Iklan
"Jadi daripada aspek pegangan sama ada pegangan asing mahu pun tempatan tidak melanggar syarat-syarat bagi keputusan yang telah dibuat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada pemilihan U Mobile mengambil kira faktor individu tertentu yang memiliki saham dalam syarikat tersebut.
Pada 1 November lepas, MCMC menerusi satu kenyataan mengumumkan pemilihan U Mobile sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian 5G kedua dengan mereka dibenarkan untuk bekerjasama dengan rakan ekosistem lain, namun tertakluk kepada kelulusan MCMC.
U Mobile dalam kenyataan berkata akan mengurangkan pegangan saham majoriti asingnya kepada 20 peratus bagi memastikan penguasaan Malaysia lebih besar dan menyeru penyertaan daripada pelabur tempatan, sejajar dengan komitmennya terhadap agenda negara. - Bernama