SEBAGAI pendedahan mengenai fungsi perpustakaan, Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz (MUST) membawa 95 pelajar dan gurunya ke Pustaka Raja Tun Uda di Shah Alam baru-baru ini.
Pengetua MUST, Ustaz Wan Abdul Baith Izzuddin Wan Mustapa berkata, lawatan sambil belajar kali pertama ke perpustakaan itu bertujuan memberi nilai tambah pengetahuan am para pelajar dan kepentingan perpustakaan kepada masyarakat.
"Ini akan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat untuk ke perpustakaan dan oleh itu MUST mengambil peluang ini sebagai pendedahan kepada para pelajar selain memupuk minat membaca mereka,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Dalam masa sama katanya, pelajar dan guru MUST juga didedahkan dengan penulisan berita dan rencana serta dunia kewartawanan melalui Kursus Asas Kewartawanan Islam.
"Alhamdulillah, matlamat program lawatan ini tercapai dan harapan kami agar budaya membaca dalam kalangan pelajar dapat ditingkatkan selain memupuk sifat ingin tahu dan berani mencuba sesuatu yang baharu dalam kalangan mereka,” katanya.
Ujarnya lagi, program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha melahirkan generasi al-Quran yang kritis, berdaya saing serta cemerlang di dunia dan akhirat.