PETALING JAYA - Menyamar sebagai anggota polis serta menahan secara rambang sebelum menyamun penunggang motosikal antara taktik sekumpulan penjenayah yang dibongkar susulan tangkapan 10 lelaki termasuk seorang 'longkai,' pada 20 Oktober lalu.
Kegiatan dipercayai aktif sejak Julai lalu itu dilakukan di beberapa lebuh raya dan jalan utama negeri ini sekitar awal pagi dan menyasarkan individu yang menunggang berseorangan.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kesemua suspek ditahan susulan satu laporan diterima dua individu dipercayai disamun di tepi Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Restoran Jejantas Sungai Buloh arah selatan.
Beliau berkata, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur 18 dan 21 tahun itu diekori empat individu sebelum bertindak menahan mereka.
"Suspek kemudian memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan berpura-pura membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua mangsa.
"Suspek kemudian bertindak melarikan barangan peribadi dan motosikal mangsa serta meninggalkan mangsa di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Khamis.
Katanya, susulan itu siasatan lanjut berhubung kejadian dijalankan sebelum kesemua suspek berumur 18 hingga 21 tahun diberkas di sekitar kawasan Petaling Jaya.
"Semakan mendapati tujuh daripada 10 suspek yang ditahan memiliki 26 rekod jenayah lampau selain dua suspek positif dadah menerusi saringan dijalankan.
"Siasatan mendapati suspek ini bergerak secara berkumpulan selain menakutkan mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis sebelum bertindak melakukan samun," katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati kesemua suspek ini mempunyai peranan yang tersendiri dan akan mengekori mangsa sebelum melakukan jenayah berkenaan.
"Polis berjaya menyelesaikan sebanyak 10 kes samun sekitar negeri ini dengan tertangkapnya kesemua suspek, selain itu semakan mendapati suspek bekerja di sektor berlainan antaranya penunda kenderaan, penghantar barangan, juruteknik, mekanik dan pelbagai pekerjaan lain.
"Kesemua suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan," katanya.