[VIDEO] Lapan anggota polis didakwa salah guna dadah

Iklan

SUNGAI PETANI - Seramai tujuh anggota polis pelbagai pangkat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan di sebuah pusat hiburan, bulan lalu.

Semua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam dua buah mahkamah berasingan di hadapan Majistret M Kalaiarasi dan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Iklan
Iklan

Tertuduh adalah Koperal Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 29; Lans Koperal Wan Muneer Abdullah, 36; Mohd Fazly Long, 45; Sarjan Mohd Khairi Zakaria, 55; Koperal Muhammad Azri Zakariya, 35; Lans Koperal G Selva Kumar, 36; dan Lans Koperal TS Sarvindran, 28.

Mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, IPD Yan dan IPD Pendang didakwa tanpa kebenaran memasukkan dalam badan sendiri dadah berbahaya jenis ketamine dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

Iklan

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat hiburan di Aman Square di sini, antara jam 4.20 hingga 7.23 pagi pada 2 Oktober lalu.

Salah seorang anggota yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis.

Turut dituduh seorang anggota polis, Francis Nawan Johny, 35, yang didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuala Muda pada jam 12.25 tengah malam tarikh sama.

Iklan

Berikutan itu, semua mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya dan Nur Hazwani Md Noor manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dan seorang penjamin selain tertuduh diarahkan melapor diri ke balai polis terdekat dalam tempoh ditetapkan.

Kes akan disebut semula antara 3 hingga 12 Disember 2024 bagi tujuan serahan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengarahkan agar pegawai dan anggota polis yang disahkan positif dadah dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani, Kedah digantung tugas serta-merta.

Razarudin berkata, dalam serbuan itu, dua pegawai kanan serta 10 pegawai rendah polis dikesan positif dadah.