LUMUT - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak memfokuskan kepada daerah membangun bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa sebarang elemen rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Pengarahnya, Datuk Ahmad Sabri Mohamed berkata, kajian yang dijalankan melihat risiko besar terutama di daerah Manjung berikutan komuniti perniagaan yang dinamik meliputi sektor perdagangan, pertanian dan perkilangan serta kepesatan ekonomi yang mempengaruhi perkembangan keperluan infrastruktur baharu.
"Secara keseluruhannya di Perak banyak aduan diterima berhubung isu-isu perolehan dan pengagihan projek di agensi atau organisasi.
"Bagi kes di daerah Manjung untuk tempoh empat tahun bermula tahun 2020, maklumat dan aduan berkaitan rasuah yang diterima oleh SPRM ialah sebanyak 63 iaitu purata lebih kurang 16 maklumat setahun manakala bagi tahun ini, sebanyak 23 aduan melebihi kadar purata tersebut.
"Dengan perkembangan itu, ia memerlukan kami hadir dalam melaksanakan pemantauan dan jangkauan untuk tindakan yang lebih efektif," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Pejabat SPRM Cawangan Daerah Manjung yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali di Sitiawan pada Khamis.
Ahmad Sabri berkata, selain mengambil tindakan, pihaknya akan memberi fokus kepada usaha pencegahan membabitkan peningkatan tatakelola dan integriti menerusi aspek kesedaran dan pendidikan.
"Kita melihat kepada isu pelanggaran tatakelola. Ia perlu diperluaskan bagi mengelak berlakunya penyelewengan dalam perolehan dan ketirisan hasil.
"Jadi fungsi terkini dasar kita di cawangan ini selain siasatan di bawah Akta SPRM 2009, sekiranya ada ruang atau peluang organisasi serta agensi terdedah kepada kelemahan-kelemahan yang merisiko kepada amalan rasuah, kita akan bantu bagaimana kaedahnya menutup ruang dan peluang itu," katanya.
Jelas beliau, pihaknya akan memperkukuhkan kerjasama dengan semua agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membasmi rasuah secara berkesan bagi memastikan setiap aspek urusan penyampaian perkhidmatan kerajaan dan transaksi perdagangan dilaksanakan secara berintegriti serta mematuhi tatakelola-tatakelola yang ditetapkan.
Bangunan Pejabat SPRM Perak Cawangan Manjung asalnya merupakan Perpustakaan Awam Sitiawan sejak 1990 dan kemudian dianugerahkan oleh kerajaan negeri pada 5 Jun 2024.
Pejabat SPRM itu akan turut melaksanakan fungsinya meliputi daerah Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.