PETALING JAYA - Kegiatan Geng Bulat yang aktif mencuri motosikal sebelum menjualnya pada warga asing serendah RM150 berjaya ditumpas polis ditahan, Oktober lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kejayaan tersebut dibongkarkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerusi Op Lejang.
Katanya, sebanyak 10 serbuan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Jeram bermula 21 hingga 25 Oktober lalu membabitkan premis rumah dan kedai.
"Hasil serbuan itu, tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 19 tahun sehingga 43 ditahan untuk siasatan lanjut.
"Warga asing yang ditahan merupakan pembeli kepada salah satu motosikal,” katanya pada sidang akhbar di IPD Petaling Jaya, pada Khamis.
Katanya, serbuan dijalankan turut berjaya merampas 14 buah motosikal pelbagai jenama serta komponen motosikal.
"Antara motosikal dirampas terdiri daripada enam Honda EX5, Yamaha Ego (dua), Yamaha Y150ZR (satu) dan Yamaha LC (lima).
"Turut dirampas satu cover set Honda Wave, lima rim motosikal dan sebatang anak kunci," katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan ini menyasarkan perumahan seperti apartment serta kawasan rumah kedai untuk mencuri motosikal.
"Pemantauan di lokasi akan dijalankan sehari sebelum mereka mencuri bagi memastikan keadaan 'selamat' untuk mereka melakukan jenayah itu.
"Kumpulan ini dipercayai bergiat aktif sekitar tengah malam sehingga awal pagi, ada motosikal dicuri dijual secara lengkap dan ada yang dileraikan," katanya.
Sasikala berkata, semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkait kes dadah.
"Semakan rekod kenderaan hilang mendapati terdapat 13 laporan polis diterima hasil pemeriksaan dibuat terhadap enjin dan komponen motosikal yang dirampas.
"Polis turut berjaya menyelesaikan 13 kes kecurian motosikal dengan tertangkapnya kesemua suspek ini," katanya.
Jelasnya, kesemua suspek direman sehingga 12 November untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.