Jaga batas pergaulan di tempat kerja, elak terdedah fitnah

Iklan
JAGALAH batasan pergaulan di tempat kerja kerana hubungan pergaulan antara lelaki dan wanita yang tidak terkawal di tempat kerja berupaya menimbulkan fitnah yang mengundang kepada zina. -Foto: CANVA

BAIK individu bujang mahupun sudah berkahwin, semua orang tetap perlu menjaga batas pergaulan di tempat kerja.

Apatah lagi kita hidup dalam era yang mana kebanyakan lelaki dan wanita berkerjaya.

Iklan
Iklan

Ketahuilah bahawa hubungan pergaulan antara lelaki dan wanita yang tidak terkawal di tempat kerja berupaya menimbulkan fitnah yang mengundang kepada zina.

Demikian peringatan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi yang dikongsikan dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Iklan

DR AHMAD SANUSI

Beliau kemudian mengajak umat untuk menyelami sikap Rasulullah SAW yang begitu memelihara batas pertemuan berlainan jantina.

Iklan

Dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari, katanya, Rasulullah SAW dilihat akan duduk seketika usai mendirikan solat bagi memberi ruang kepada kaum Hawa untuk beredar dahulu.

"Baginda melakukan demikian bagi mengelakkan percampuran atau perselisihan antara lelaki dan perempuan yang mungkin berlaku selepas selesai solat,” katanya.

Ia dikuatkan lagi dengan beberapa hadis lain antaranya Rasulullah SAW bersabda: "Alangkah baiknya sekiranya kita biarkan pintu ini dikhususkan untuk wanita sahaja. Berkata Nafi (anak murid Ibnu Umar), setelah mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, Ibnu Umar tidak pernah memasuki pintu itu sehinggalah beliau meninggal.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

TELADANI cara Rasulullah SAW yang begitu memelihara batas pertemuan berlainan jantina. -Foto: CANVA

Bukan itu sahaja, Abu Said Al-Ansari juga pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda ketika Baginda keluar dari masjid yang mana lelaki dan wanita berselisih (bercampur) dalam perjalanan mereka.

Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Lewatkan (jauhkan) sedikit laluan kamu, janganlah kamu berjalan di pertengahan jalan (sehingga bercampur lelaki wanita)." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Walaupun kebanyakan orang menganggap mereka yang berurusan dengan masjid ialah kelompok berhati baik, namun Dr Ahmad Sanusi menegaskan, Rasulullah SAW tetap bertegas mengasingkan mereka kerana dibimbangi akan ditimpa fitnah.

"Batasi pergaulan kita. Usah bergurau dengan gurauan ‘orang kahwin’ yang melampau.

"Bermula dari cetusan yang sedikit, syaitan berupaya membisikkan godaan zina yang memusnahkan,” titipnya.