Hubungan baik dua negara dorong kerjasama Darphane, Ultimate Print

Iklan
Abdullah Yasir

KUALA LUMPUR - Hubungan baik antara Turkiye dan Malaysia menjadi pendorong utama kepada kerjasama antara Darphane dan Ultimate Print Sdn Bhd (Ultimate Print).

Ketua Pengarah Darphane, Abdullah Yasir Sahin berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh hubungan sedia ada.

Iklan
Iklan

"Umum mengetahui, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki hubungan kuat, jadi kita (Darphane) hanya mahu jadikan ia sebagai nilai tambah.

"Sehubungan itu, kami telah pun melawat syarikat tempatan (Ultimate Print) yang menjadi rakan strategik dengan Darphane untuk melihat kemudahan percetakan di sana,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ultimate Print dan Darphane pada Khamis.

Iklan

Hadir sama sewaktu majlis ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub serta Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Print, Azizi Fickry.

Justeru, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk berkongsi teknologi, pengalaman, maklumat dan keupayaan tentang percetakan berkenaan.

Iklan

"Kami melihat Ultimate Print mempunyai keupayaan yang besar dalam percetakan walaupun terdapat jurang ke arah penghasilan percetakan keselamatan.

"Oleh itu, kami mahu merapatkan perbezaan tersebut melalui kerjasama yang lakukan pada ketika ini,” ujarnya.

Ultimate Print dan Darphane menandatangani MoU bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama memajukan industri teknologi percetakan di Malaysia.

Objektif perjanjian tersebut untuk membina hubungan formal antara kedua-dua entiti perniagaan berkenaan.

Selain itu, kerjasama tersebut dijangka memberi pelbagai faedah kepada ekonomi dan industri percetakan negara ini.

Menerusi pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan inovasi, sekali gus membolehkan Ultimate Print menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi di rantau ini.

Sebagai rekod, Ultimate Print merupakan sebuah syarikat percetakan unggul di Malaysia dengan pengalaman lebih 30 tahun yang menyediakan perkhidmatan percetakan buku, digital, pembungkusan, akhbar dan al-Quran.

Sementara Darphane pula merupakan sebuah firma milik kerajaan Turkiye di bawah Kementerian Perbendaharaan dan Kewangan yang ditubuhkan pada 1467 sewaktu pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.

Firma itu berpangkalan di Istanbul itu bertanggungjawab mengendalikan penghasilan syiling, wang kertas, cop mohor rasmi, pingat dan setem hasil.