Peniaga dakwa kelapa diseludup ke Thailand, hadapi masalah bekalan

Iklan
Peniaga tempatan hadapi masalah bekalan kelapa selepas kelapa import Indonesia untuk kegunaan tempatan dibawa ke pasaran selatan Thailand. Gambar kecil: Mohd Hafiz dan Mohd Erwan

KUALA LUMPUR - Peniaga dan pembekal kelapa menghadapi masalah bekalan sejak Ogos lalu, selepas mendakwa bekalan itu diseludup ke selatan Thailand.

Iklan
Iklan

Seorang pengusaha kelapa parut dan santan segar, Mohammad Safuan Nawawi, 36, berkata, pengeluaran tempatan tidak cukup untuk menampung kegunaan harian dan memerlukan bekalan tambahan kelapa import daripada Indonesia.

Menurutnya, bekalan itu akan masuk ke dalam negara melalui pelabuhan Minyak Beku, Batu Pahat, Johor sebelum diedarkan kepada pembekal seluruh negara.

Iklan

"Permintaan tinggi daripada selatan Thailand menyebabkan bekalan untuk kegunaan dalam negara ini dibawa ke sana.

"Tidak dapat dipastikan sama ada kuota ke negara itu tidak cukup atau memerlukan kuota tambahan yang menjadi punca peniaga di sana mengambil bekalan dari Malaysia," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau memaklumkan, isu kekurangan stok menyebabkan segelintir pembekal tempatan mula menaikkan harga kepada peniaga kecil.

"Dahulu harga bagi satu kilogram (kg) kelapa RM1.03 tapi harga semasa menjadi RM2. Berlaku kenaikan hampir setiap minggu dan minggu lepas mencecah 20 sen kini meningkat 90 sen bagi setiap kg.

"Setiap minggu saya perlukan bekalan 20 tan dan terpaksa bertengkar dan berebut untuk mendapatkan stok, ada yang tak dapat bekalan terpaksa datang semula ke pelabuhan keesokan hari.

"Ia berpunca terdapat pembekal lebih utamakan permintaan luar yang tawarkan harga tinggi sehingga RM4 sekilogram hingga ketepikan keperluan tempatan," ujarnya.

Peniaga kelapa di Pasar Harian Selayang Baru, Azlan Adam, 52, turut mengakui menghadapi masalah bekalan hingga pernah terpaksa menutup operasi baru-baru ini.

"Saya terpaksa tutup kedai tiga hari sebab tak ada barang, hari ini baru mula beroperasi selepas dapat stok.

"Itu pun dapat 500 biji yang cukup untuk dua hari saja, setiap minggu memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 biji untuk proses santan dan kelapa parut," katanya.

Katanya, pemansuhan Permit Import (AP) kelapa tua beberapa tahun lalu menyebabkan tiada kawalan bekalan hingga menjejaskan peniaga kecil.

"Saya ambil bekalan melalui pembekal tempatan, ketiadaan kelapa kampung digantikan kelapa mawar yang saiznya lebih kecil menyebabkan kos operasi menjadi tinggi.

"Keadaan bekalan semakin buruk dan sepanjang 33 tahun berniaga, ini kejadian paling teruk. Sebelum ini masalah dapat dikawal, tapi sekarang sudah empat bulan dan dibimbangi berlarutan hingga Aidilfitri.

"Ada antara peniaga yang terpaksa masuk ke kampung mencari bekalan selepas pembekal tidak dapat menampung permintaan pasaran," katanya.

Sementara itu, pemilik Mr & Mrs Santan, Mohd Hafiz Mohd Hanafian, 37, berkata, kelapa kampung atau tempatan yang mengalami masalah akibat melawas, banjir serta air pasang besar turut mengalami kenaikan sehingga RM2.50 setiap biji.

Ujarnya, di sekitar Lembah Klang, harga kelapa import Indonesia telah mencecah antara RM2.20 hingga RM2.50 manakala di utara dan Pantai Timur, telah mencecah RM3.20.

Tambahnya, harga kawalan Deepavali yang ditetapkan KPDN didakwa tidak mengambil kira harga barang mentah dan kos sebenar ditanggung peniaga.

"Sebagai contoh, untuk kelapa parut putih. Bagi mendapatkan 1kg kelapa parut putih memerlukan empat biji kelapa tua yang diperoleh dari pembekal dengan harga RM1.80 hingga RM2.50 sebiji.

"Bagaimana harga yang telah ditetapkan iaitu RM7.60 1kg, mampu membantu peniaga-peniaga produk hasil asas tani kelapa?

"Ini masih belum ambil kira kos penghasilan santan yang perlukan kondisi kelapa cukup tua untuk mengeluarkan santan sepatutnya. Jika kelapa diterima peniaga muda, maka jumlah penghasilan santan akan berkurang," katanya.

Pengurus Santan Ukay, Mohd Erwan Mokhtar 48 berkata, ada keperluan AP import kelapa tua dari Indonesia diwujudkan semula sebagai langkah kawalan pasaran dan harga.

" Sebelum pemansuhan, kelulusan AP untuk kelapa tua bernilai sekitar RM500 juta. Kurang 50 syarikat diberi kebenaran untuk mengimport kelapa tua, membolehkan kawalan yang lebih ketat terhadap pemain pasaran.

"Bagaimanapun selepas pemansuhan AP, penjual kelapa di Indonesia dapat mengenal pasti pembeli yang menawarkan harga tertinggi untuk produk mereka.

"Ketiadaan AP memungkinkan mereka menaikkan harga dengan bebas kerana adanya persaingan antara pembeli tempatan," katanya.

Justeru katanya, AP dapat membantu kawalan harga lebih stabil dan penjual di Indonesia akan memahami, mereka perlu berurusan dengan pembeli yang memiliki kelulusan AP sahaja.

"Langkah ini dapat mengekang kenaikan harga berlebihan, kerana penjual dari Indonesia sedar bahawa mereka tidak bebas memilih pembeli yang memberikan tawaran harga tertinggi.

"Dengan wujudnya AP, kerajaan dapat mengawal kuantiti import dan harga kelapa tua untuk memastikan bekalan dan harga stabil di pasaran tempatan," katanya.

Secara tidak langsung katanya, AP memberikan kawalan kepada kerajaan untuk menyokong pekebun kelapa tempatan dengan mengelakkan lambakan kelapa import yang boleh menjejaskan harga dan permintaan bagi kelapa tempatan.