[VIDEO] Rompak jurutera lebih RM190,000, lelaki dijel 10 tahun, dua sebatan

Iklan

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki merompak seorang jurutera menggunakan gunting pemotong rumput membabitkan kerugian lebih RM190,000, bulan lepas mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan.

Penghantar p-hailing, Nur Muhd Rusydi Abdul Raman, 32, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Egusra Ali.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum bermula tarikh tangkap pada 29 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang memakai baju hitam bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa merompak Mohd Hafidz Mohd Ismail, 43, membabitkan satu telefon bimbit jenis iPhone 15 Plus, barangan berharga serta wang tunai RM9,000 milik mangsa dengan menggunakan senjata terbabit.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Presint 16, Putrajaya pada jam 3 pagi, 27 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan
Nur Muhd Rusydi (kiri), Mohd Ezwan (dua dari kiri) dan Abdul Rahman (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan kes antaranya memiliki barang curi dan merompak, bulan lalu.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa dirompak dengan menggunakan senjata itu.

Susulan itu, pihak polis telah menangkap tertuduh dan membuat rampasan antaranya beberapa bentuk cincin permata berwarna perak, anting-anting, jam tangan dan rantai mutiara.

Hasil kawad cam, mangsa telah mengecam tertuduh berdasarkan mata, bentuk badannya, perut boroi, warna kulit serta pakaian yang dirampas semasa tangkapan dibuat.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman penjara maksimum dan sebat sebagai memberi pengajaran.

"Kes ini melibatkan jumlah kerugian yang besar maka hukuman yang tinggi bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh malah kepada masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Bagaimanapun, Nur Muhd Rusydi yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan.

Dalam prosiding sama, seorang lagi tertuduh, tukang jahit, Mohd Ezwan Kamaruzaman, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Sementara seorang lagi tertuduh, peniaga, Abdul Rahman Abdullah, 35, membuat pengakuan sama, atas satu pertuduhan memiliki hasil rompakan iaitu telefon bimbit jenis iPhone 15 Plus, di sebuah kedai di Jalan Kampung Laksamana, Batu Caves, Gombak di sini, pada jam 4.30 petang, 29 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Nor Aisyah tidak menawarkan kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin kerana kesalahan itu termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam, Nurul Diyana Basher yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu mahkamah memberikan ikat jamin pada kadar minimum kerana mereka perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Egusra membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin, termasuk syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ini ditetapkan pada 6 Disember ini.